DUNGUN - Mahkamah Majistret di sini diberitahu wanita yang didakwa atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, 9 Oktober lalu masih lagi berada di Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemerhatian kesihatan mentalnya.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah pada sebutan kes ke atas tertuduh, Norizan Ismail, 49, di hadapan Majistret, Nur Amira Fatihah Osman, di sini pada Ahad.
Semasa prosiding, Azizan memaklumkan laporan penuh berhubung tahap kesihatan mental Norizan selaku tertuduh itu masih belum diperoleh.
"Tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod menjalani rawatan psikiatri maka pihak hospital memohon satu perintah penahanan di bawah seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan.
"Tertuduh juga tidak dibawa pada hari ini. Jadi pihak kami memohon satu lagi tarikh lain bagi sebutan (laporan psikiatri),” ujarnya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Norhabibah Norulalzahar mengesahkan perkara berkenaan.
Selepas mendengar makluman tersebut, Majistret, Nur Amira Fatihah Osman kemudian menetapkan 17 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Dalam prosiding sebelum ini, Norizan yang merupakan ibu kepada tiga anak itu telah diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru selama sebulan.
Pada 15 Oktober lepas, Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar UiTM kampus Dungun, 9 Oktober lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Jamaludin, 20.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Dungun jam 7.35 malam.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, wanita itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar serta pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Muhammad Akmal.
Seorang lagi mangsa yang cedera dalam nahas itu ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20.