Warga emas maut jatuh perigi ketika ambil wuduk

Iklan
Seorang warga emas maut selepas terjatuh ke dalam perigi semasa mahu mengambil wuduk di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang pada Ahad. (Gambar kecil: Bahrum Ismail)

RANTAU PANJANG - Seorang warga emas maut selepas terjatuh ke dalam perigi semasa mahu mengambil wuduk dalam kejadian di Kampung Tasek Bakong di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa, Bahrum Ismail, 64, dikatakan meninggal dunia di dalam perigi sedalam empat meter terbabit.

Iklan
Iklan

Jiran, Mohd Shamsudin Pa'Sar, 50, berkata, dia difahamkan oleh ahli keluarga, mangsa akan mengambil wuduk di telaga berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

"Perkara itu menjadi rutin mangsa setiap kali mahu keluar menoreh. Masa kejadian saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrum kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.

Iklan

"Sejurus tiba, anak mangsa memberitahu bapa mereka telah terjatuh ke dalam perigi," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurutnya, dia sempat membantu dengan menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 untuk mendapatkan bantuan.

Iklan

Mohd Shamsudin berkata, salah seorang anak Bahrum memberitahu dia terdengar suara bapanya ada meminta bantuan dan sempat menghulurkan tali.

Anggota bomba turun ke dalam perigi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa. Foto JBPM

Bagaimanapun katanya, mangsa sudah lemah dan akhirnya tenggelam.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.

"Apabila tiba di lokasi kami mendapati mangsa tenggelam di dasar perigi. Seorang anggota telah turun ke dalam perigi tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar mayat menggunakan kaedah ikatan tali," katanya.

Menurut beliau, jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.