KOTA BHARU - Penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan barangan yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini bagi mengelak dicekup oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan di lokasi berasingan pada Jumaat dan Sabtu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada Jumaat sekitar jam 7.30 malam semasa penugasan Op Taring Wawasan Batalion 7 PGA Kuantan telah menemukan kotak mengandungi produk kosmetik yang ditinggalkan di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah 2, di Pasir Mas.
"Hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi produk kosmetik jenis sabun yang dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM28,800.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya pada Ahad.
Menurut beliau, pada Sabtu Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menumpaskan kegiatan penyeludupan pakaian yang dikesan di Kampung Simpangan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ujarnya, rampasan pada jam 4 petang itu dilakukan apabila menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Nik Ros Azhan memberitahu, hasil pemeriksaan telah menemukan 547 helai kain pasang bermanik yang dipercayai diseludup dari Thailand.
"Sementara itu suspek yang merupakan seorang lelaki telah meloloskan diri. Anggaran keseluruhan rampasan ialah RM164,100 dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
"Suspek dan barangan rampasan diserahkan ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya.