Rakan buat kejutan bergambar pra konvo di wad hospital

Iklan
Rakan buat kejutan bergambar pra-konvo di wad hospital selepas sahabat baiknya, Hazim Safwan (duduk) terlibat kemalangan jalan raya dua minggu lalu. FOTO/ Muhammad Adam Fitri.

SHAH ALAM - Tindakan murni sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengadakan pemotretan pra konvokesyen di wad hospital selepas salah seorang rakan karib terlibat kemalangan jalan raya mengundang sebak warga maya.

Berdasarkan perkongsian di TikTok Muhammad Adam Fitri Abd Halim, rakannya, Muhamad Hazim Safwan Roszanihar, 26, kemalangan dua minggu sebelum sidang konvokesyen universiti terbabit berlangsung dan mengalami kecederaan pada kaki kanan.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, keenam-enam pelajar berkenaan menunjukkan erti persahabatan sebenar apabila sanggup membawakan jubah dan topi graduasi buat rakannya agar tidak terlepas momen indah sebelum menggenggam segulung ijazah.

"Kami belajar jurusan yang sama iaitu Kejuruteraan Komputer dan tinggal serumah sepanjang pengajian.

Iklan

"Lagi dua minggu nak konvo, dia kemalangan. Bergambar dalam wad hospital pun okay. Kami melawatnya 8 November lalu (Jumaat) sebelum sidang graduasi ketiga pada pagi 10 November (Ahad).

"Sebelum ini, Hazim kata boleh hadir tetapi tiba-tiba dua hari sebelum konvo, tak boleh (hadir) pula disebabkan ada komplikasi selepas menjalani pembedahan kaki. Justeru, kami berpakat nak melawatnya di hospital sekali gus bawa jubah untuk bergambar kenang-kenangan," katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan
Perkongsian pelajar universiti di TikTok pada Khamis lalu mengundang reaksi sebak warga maya. FOTO/ Muhammad Adam Fitri.

Menerusi video berdurasi 41 saat itu, kelihatan masing-masing turut membantu menyarungkan jubah graduasi dan bergambar bersama-sama walaupun rakannya hanya duduk di kerusi roda.

Semangat setia kawan yang ditunjukkan menuai reaksi positif dan pujian daripada pengguna media sosial, malah kebanyakannya mendoakan agar hubungan persahabatan itu kekal berpanjangan.

Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah kerana berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun.