Sedia teliti beli helikopter baharu untuk TDM - Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled (dua dari kanan) menyampaikan Zakat Wakalah kepada Abd Rahman Abas (dua dari kiri) pada Majlis Serahan Zakat Wakalah BH Petrol di Majlis Al-Muhajirin Masai pada hari ini. Foto Bernama

PASIR GUDANG - Kementerian Pertahanan sedia meneliti keperluan perolehan helikopter baharu jika Tentera Darat Malaysia (TDM) gagal menyewa helikopter yang diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, TDM sebelum itu perlu membuat tawaran kepada mana-mana syarikat pembekal helikopter terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, TDM kini dalam proses mendapatkan sewaan helikopter tersedia untuk digunakan mengikut spesifikasi diperlukan.

"Saya percaya proses tersebut sedang usahakan, kadang-kadang helikopter kita (kehendaki) tiada dalam pasaran.

Iklan

"Perlu diingat Black Hawk sebelum ini untuk sewa lima tahun bukan beli, mungkin jika itu tidak dapat diteruskan, kita kena fikir dan ini akan mengambil masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Penyerahan Zakat Wakalah BHP Petrol di Masjid Muhajirin, Taman Rinting, Masai di sini pada Ahad.

Iklan

Pada 6 November lalu, Kementerian Pertahanan dilaporkan sudah menyerahkan notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal empat helikopter terbabit untuk kegunaan TDM.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, langkah itu susulan pelanjutan kontrak oleh syarikat itu pada Oktober lalu selepas gagal mematuhi kontrak penyerahannya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kementerian memberi tempoh kepada syarikat pembekal sehingga Oktober untuk memenuhi penghantaran empat Black Hawk.

Pada Ogos lalu, kementerian itu sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk untuk TDM.

Kementeriannya sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lalu, mereka menandatangani kontrak menyewa empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.