Teknologi rawatan kanser

Iklan
EVOLUSI rawatan kanser.

MENDENGAR sahaja perkataan kanser, pasti meruntun rasa gerun. Apa tidaknya, sejak dua dekad lalu, kanser adalah satu daripada lima penyebab utama kematian yang berlaku di hospital kerajaan iaitu 11.82 peratus daripada keseluruhan kes pada 2018.

Menurut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia dari 2012 hingga 2016, tiga jenis kanser yang paling kerap direkodkan di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus), kanser kolorektal (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).

Iklan
Iklan

Kanser yang paling lazim dalam kalangan golongan lelaki adalah kanser kolorektal iaitu 16.9 peratus. Wanita pula ramai terkena kanser payudara iaitu sebanyak 34.1 peratus.

Ironinya, laporan berkenaan juga menunjukkan peratusan kes kanser lewat dikesan iaitu ketika ia sudah memasuki tahap tiga atau empat semakin meningkat.

Iklan

Daripada 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011, jumlah kes kanser lewat dikesan meningkat kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016. Pastinya bimbang bukan kepalang apabila diri disahkan menghidap kanser.

Pesakit akan sanggup berbuat apa saja termasuk pergi ke hospital yang memiliki peralatan rawatan canggih. Akan tetapi, timbul persoalan apakah teknologi yang kian ‘gah’ mampu membantu mengesan kanser di peringkat awal sekali gus mengubatinya?

Iklan

Sempena Hari Kanser Sedunia, ikuti perkongsian Sihat:Aktif pada minggu ini.

Teknologi canggih bantu rawatan lebih efektif, cekap

BULAN ini masuk tahun kedua Nur Zahidah Arif, 34, disahkan menghidap penyakit tumor otak. Gejala sakit kepala, loya dan muntah yang sebelum itu sentiasa diabaikannya akhirnya memakan diri.

Kejadian tiba-tiba diserang sawan sehingga perlu dibawa ke hospital membuka rahsia yang tidak diketahui dirinya selama ini. Nur Zahidah rupa-rupanya menderita kanser otak tahap tiga.

"Pelbagai kaedah rawatan saya jalani. Terbaharu, saya jalani pembedahan, radioterapi dan kemoterapi menggunakan teknologi terkini."Alhamdulillah, perkembangan saya positif biarpun pada mulanya hampir putus asa," cerita ibu dua anak itu. Ya, pada era teknologi canggih, impaknya begitu meluas buat manusia.

Begitu juga dalam bidang perubatan, teknologi sangat membantu. Manfaatnya termasuklah bagi rawatan penyakit kanser. Apalagi jika melihat kanser merupakan punca kematian kedua tertinggi di dunia yang meragut nyawa 9.6 orang pada tahun 2018.

Kanser juga adalah antara penyebab utama kematian di Malaysia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wanita lebih berisiko. Perkara berkenaan dijelaskan lagi apabila seorang dalam 10 lelaki dan seorang dalam sembilan wanita dikatakan berisiko menghidap kanser sebelum usia 75 tahun.

Bagaimanapun, benarkah teknologi moden betul-betul efektif dalam merawat pembunuh senyap itu? Mengupas peranan teknologi dalam bidang perubatan, Sihat:Aktif mendapatkan perkongsian Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hafizah Zaharah Ahmad.

DR HAFIZAH ZAHARAH AHMAD

Menurut Dr Hafizah, kanser terjadi apabila sel di dalam badan membahagi secara berterusan di luar kawalan. Sel kanser berupaya menyerang dan merosakkan tisu dan organ di dalam tubuh.

Cara kanser merebak

Lama-kelamaan, ia akan merebak melalui saluran darah atau limfatik ke organ yang lain. Terang Dr Hafizah, kanser payudara yang merebak ke paru-paru misalnya dikategorikan sebagai kanser tahap empat. Seiring perkembangan teknologi, tidak aneh sekiranya pesakit kanser memilih rawatan menggunakan teknologi moden.

Jelas Dr Hafizah, perkembangan teknologi dapat membantu mendiagnosis kanser menggunakan mesin Imbasan Tomografi Pembebasan Positron-Tomografi Berkomputer (PET-CT)."Teknologi tersebut berupaya mengesan lokasi dan aktiviti metabolik sel kanser.

Teknologi baharu ini adalah sebagai tambahan kepada kaedah rawatan tradisional kanser."Pesakit mungkin dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang jauh lebih berkualiti," ujar Dr Hafizah.

F-fluorodeoxyglucose (F-FDG) PET/CT pula adalah teknologi canggih dalam bidang perubatan nuklear. Menggabungkan teknologi PET dan CT, ia menghasilkan imej tiga dimensi berserta proses fisiologi dalam tubuh manusia.

BANTUAN teknologi lebih canggih dan efektif bantu merawat kanser.

Bahan radioaktif (FDG) digunakan sebagai alat pengesan. Menurut Dr Hafizah, PET CT mampu mengesan aktiviti metabolik, menjadikannya berguna untuk beberapa fungsi iaitu:

1. Mengesan kanser peringkat awal.

2. Mengesan kanser yang telah merebak.

3. Mengesan kanser yang berulang.

4. Perancangan biopsi dan rawatan.

5. Penilaian tindak balas selepas rawatan kemoterapi atau radioterapi.

"Selain FDG-PET CT, terdapat beberapa jenis PET radiotracers iaitu 68Ga-tate (Gatate) yang berupaya mengesan tumor neuroendokrin (NETs) dan 68Ga-PSMA (Antigen Membran Khas Prostat) untuk mengesan kanser prostat,” terang Dr Hafizah lagi.

Teknologi radioterapi

Dari segi rawatan, teknologi radioterapi dapat memberi rawatan dengan dos yang tinggi dan tepat sekali gus mengurangkan kesan sampingan.

Radioterapi menggunakan dos radiasi yang tinggi untuk membunuh sel kanser dengan merosakkan DNAnya, kata Dr Hafizah. Salah satu mesin radioterapi ialah TrueBeam STx.

Menariknya, menggunakan pengimejan empat dimensi (4D), alat itu menyasarkan kanser pada ketepatan satu milimeter. Jelas Dr Hafizah, rawatan berkenaan sesuai untuk pesakit yang menghidap kanser payudara, pankreas, rektum dan nasofarinks.

"Mesin tomoterapi juga berupaya melakukan rawatan canggih seperti Radioterapi Moden Intensiti (IMRT). IMRT digunakan untuk merawat kanser prostat, sarkoma, kulit dan kanser otak,” ujarnya. Satu lagi teknologi canggih yang dikongsi Dr Hafizah ialah Gamma Knife Icon iaitu mesin radioterapi khusus untuk merawat ketumbuhan dalam otak.

PELAN rawatan radioterapi yang dilakukan oleh pakar onkologi dan ahli fizik

"Walaupun digelar Gamma Knife, perlu difahami ia tidak melibatkan pembedahan atau penggunaan pisau bedah."Dengan dos radioterapi yang berkali ganda lebih tinggi daripada dos radioterapi konvensional, Gamma Knife boleh memusnahkan sel tumor di dalam otak dengan sasaran tepat.

GAMMA Knife Icon berperanan untuk mengurangkan risiko kerosakan sel otak yang normal.

Risiko kerosakan sel otak yang normal dapat dikurangkan,” katanya. Apabila bercakap tentang penggunaan teknologi, pastinya timbul kegusaran mengenai caj.

Kongsi Dr Hafizah, apa pun kos rawatan bergantung kepada jenis dan rumitnya kes kanser berkenaan."Boleh dikatakan kos rawatan sekitar RM5,000 ke RM26,000,” ujarnya yang menasihati orang ramai agar tidak gusar kerana Malaysia adalah antara negara perubatan terbaik di dunia.

Umumnya, kemoterapi dikaitkan dengan rawatan yang sentiasa menimbulkan rasa gerun. Pakar Perunding Klinikal Onkologi, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen melontarkan pandangannya.

DR MARFU'AH NIK EEZAMUDDEEN.

Kata beliau, rawatan sebenarnya mengikut jenis, peringkat dan profil kanser."Rawatan bagi setiap pesakit adalah berbeza-beza. Kadangkala memerlukan gabungan pelbagai modaliti seperti pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan terapi endokrin.

"Terkini terapi sasaran dan imunoterapi," ungkapnya kepada Sihat:Aktif ketika dihubungi baru-baru ini.

Rawatan standard

Terang Dr Marfu’ah, terapi sasaran adalah rawatan kanser khusus kepada gen, protein atau persekitaran tisu yang mempunyai peranan dalam pembesaran dan survival kanser.

Imunoterapi pula adalah rawatan yang merangsang sistem imunisasi pesakit sendiri untuk melawan sel-sel kanser secara semula jadi."Kedua-dua rawatan ini adalah kaedah terkini dalam perubatan kanser. Namun, perlu diketahui, kaedah ini lebih relevan buat pesakit kanser tahap empat,” jelasnya.

Biarpun pada alaf serba moden, rawatan kanser standard seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi masih kekal relevan terutamanya untuk pesakit kanser tahap awal.

Matlamat rawatan tersebut adalah untuk pulih sepenuhnya daripada kanser dan berusaha mengurangkan kebarangkalian kanser berulang kembali. Kongsi Dr Marfu’ah, pesakit dan masyarakat secara umumnya bimbang mengenai risiko tanpa mengetahui kaedah pembedahan memberi peratusan tertinggi untuk pesakit sembuh semula khususnya melibatkan kanser payudara dan kanser usus.

"Meskipun terdapat pelbagai kaedah baharu, kaedah ini dapat meningkatkan keberkesanan rawatan pembedahan dan rawatan susulan,” jelasnya lagi. Lebih menarik, menurutnya kaedah pembedahan terkini itu jugalah yang telah banyak membantu pakar mengenal pasti dengan lebih jelas sel-sel kanser dan kesannya terhadap tisu di sekitar kawasan ketumbuhan.

Rawatan radioterapi menggunakan X-ray untuk membunuh sel kanser pula kini menggunakan teknik yang lebih tepat sekali gus mengurangkan risiko kerosakan tisu yang normal.

"Ini dapat membataskan kesan sampingan yang dialami pesakit,” terang Dr Marfu’ah yang mendedahkan ramai pesakit kanser tahap empat di bawah pemantauannya yang kini bebas simptom kanser dan terus menerima rawatan. Seperkara lagi, perubahan yang paling ketara adalah melibatkan kanser paru-paru.

Menurut beliau, dua dekad lalu, pesakit kanser paru-paru selalunya dikesan pada peringkat akhir dan hanya mampu bertahan kurang dari enam bulan."Kini, dengan terapi sasaran dan imunoterapi, pesakit kanser paru-paru tahap empat masih mampu hidup bertahun-tahun selepas didiagnosis," kata Dr Marfu'ah.

Nasihatnya, orang ramai harus peka kerana setiap orang berisiko terkena kanser."Faktor genetik hanya melibatkan 10 ke 15 peratus kes, selebihnya disebabkan pelbagai faktor lain. Jadi, segala perubahan atau gejala, haruslah dirujuk kepada pakar perubatan,” kata Dr Marfu’ah.

Lalui 25 kali radioterapi, 17 kali kemoterapi

"INI tahun keempat saya hidup bersama ‘derita’ kanser." Itu luahan Muhammad Khairul Jauhari Othman, 25, yang berasal dari Pahang ketika dihubungi Sihat:Aktif baru-baru ini.

Kongsi Muhammad Khairul, beliau belum bebas daripada penyakit limfoma Hodgkin iaitu kanser kelenjar darah. Muhammad Khairul sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan matematik di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) setelah menangguhkan pengajiannya selama dua tahun untuk memberi fokus kepada rawatannya.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, beliau kini masih dalam pemantauan dan perlu ke Klinik Pakar Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang setiap dua bulan sekali.

Tabahnya Muhammad Khairul sebagai seorang penghidap kanser, beliau telah melalui 17 kali kemoterapi, 25 kali radioterapi dan sekali pemindahan sumsum tulang.

"Alhamdulillah, keadaan fizikal sekarang baik-baik sahaja. Saya anggap ini satu anugerah buat diri saya kerana bukan semua orang mampu menerima ujian sebegini,” ujar Muhammad Khairul.

Kongsinya lagi, kakaknya juga merupakan penghidap kanser yang sama. Mula didiagnos pada tahun 2017, Muhammad Khairul disahkan menghidap kanser tahap tiga setelah melalui ujian biopsi.

Sejak itu, beliau mengakui banyak perubahan yang ditempuhinya."Sepanjang empat tahun, saya berulang-alik mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital di sekitar Kuantan, Kuala Lumpur dan Ampang,” ujarnya.

Kata Muhammad Khairul, kenangan yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika menjalani rawatan pemindahan sumsum tulang. Ketika itu, hospital bagi beliau ibarat ‘rumah kedua’ apabila terpaksa berada di situ selama sebulan sepanjang Ramadan tahun lalu.

TAHUN keempat Muhammad Khairul menghidap kanser kelenjar darah.

"Saya juga pernah diminta oleh pihak hospital untuk mengumpul dana sebanyak RM168,000 bagi menampung kos ubat-ubatan yang tidak disubsidi oleh kerajaan.

"Alhamdulillah, dengan bantuan dan sokongan daripada orang ramai, saya dapat membeli separuh daripada keperluan ubat tersebut,” ungkapnya.

Muhammad Khairul turut menasihati pesakit kanser lain agar jangan sesekali mengabaikan rawatan dengan pihak hospital dan sentiasa berdisiplin mendengar nasihat pakar."Paling penting, jangan ambil suplemen tanpa nasihat daripada doktor,” katanya.