KOTA BHARU - Cadangan memansuhkan subsidi minyak masak peket dibincangkan di peringkat kerajaan bagi mengelak ketirisan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, terdapat risiko dalam pelaksanaan untuk memansuhkan subsidi itu dan pada masa sama kerajaan menanggung puluhan juta ringgit untuk menyediakan subsidi terbabit.
"Memang dah dibincangkan beberapa kali sebab kita tahu bahawa ada risiko pelaksanaan dan kerajaan pula berhabis berpuluh juta untuk tiap bulan bagi menyediakan minyak paket bersubsidi tetapi minyak itu sama ada susah nak dicari ataupun dah ada di seberang (negara jiran).
"Kita semua sedia maklum isunya ialah ketirisan yang tak boleh disangkal lagi,” katanya pada sidang akhbar Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad.
Menurut beliau, perkara tersebut di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan menunggu pihak itu menunggu masa sesuai untuk membentangkan kepada Jemaah Menteri.
"Sekarang mereka sedang melalui proses semakan bagaimana cara terbaik untuk memberikan subsidi minyak ini tanpa berlaku ketirisan yang besar kerana ketirian itu sendiri akan menjadi beban kepada KPDN sebagai penguatkuasaan.
"Mereka pun sedang mencari jalan untuk membangunkan kaedah baru dan di peringkat kementerian kena tunggu pembentangan di Kabinet serta berharap ada kaedah yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, kerajaan disaran memansuhkan minyak masak peket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan serta ketirisan.
Berdasarkan laporan, daripada kuota 60,000 tan atau bersamaan 60 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram sebulan di pasaran, 60 peratus digunakan kumpulan peniaga mikro.