Pindaan RUU kewarganegaraan sebenarnya hasil cetusan Wan Azizah - Saifuddin

Iklan
Saifuddin ketika menghadiri Kem Pemantapan Organisasi Wanita PKR yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM - Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan sebenarnya adalah hasil cetusan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendedahkan perkara itu berkata, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, melihat kesusahan yang dialami oleh wanita warganegara yang berkahwin dengan orang asing dan melahirkan anak di luar negara untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau kemudiannya telah mengusulkan idea pindaan tersebut kepada Menteri Dalam Negeri pada masa itu kerana Perlembagaan Persekutuan sememangnya sudah mengiktiraf bahawa setiap lelaki dan wanita Malaysia mempunyai hak yang sama.

"Usul Kak Wan tidak diambil serius dan ketika saya mula memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, ini adalah salah satu inisiatif yang saya usahakan.

Iklan

"Tangan yang menggoncang buaian mampu menggoncang dunia bukan sekadar ucapan klise tetapi memberi gambaran sebenar kekuatan kepimpinan kaum wanita.

"Saya berkongsi juga bahawa kepimpinan juga membawa maksud melakukan perkara yang betul dan seterusnya memimpin pasukan kita untuk mencapai objektif.

Iklan

"Kepimpinan bukan sekadar memberi arahan, tetapi memberi bimbingan di dalam delegasi kuasa serta tanggungjawab,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Ahad.

Beliau sebelum itu menghadiri Kem Pemantapan Organisasi Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pada 17 Oktober lalu, Dewan Rakyat melakar sejarah selepas berjaya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dengan sokongan lebih dua pertiga.

Keputusan tersebut memberi kelegaan kepada ramai pihak termasuk anak yang dilahirkan di luar negara, yang sebelum ini hanya layak mendapat kewarganegaraan jika bapanya seorang warganegara.

Sementara itu, Saifuddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Agung PKR di bawah dua kepimpinan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah juga mengingatkan semua peringkat agar melaksanakan sebagaimana yang diperkatakan.

"Keberadaan PKR dalam kerajaan adalah ruang untuk kita membuat perubahan dan reformasi yang dilaung sejak 26 tahun yang dulu.

"Syabas saya ucapkan kepada Wanita PKR di atas penganjuran Kem Pemantapan Organisasi ini dan saya mendoakan agar terus kekal optimis, gigih di dalam perjuangan ini.

"Bersama kita fokus untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan politik negara bersama Kerajaan Perpaduan Madani,” jelasnya.