Ujian urin boleh kesan individu hisap vape ada bahan terlarang

Iklan
Saifuddin Nasution

BANDAR BAHARU - Ujian urin bukan sekadar boleh mengesan dadah yang diambil secara konvensional malah dapat mengesan bahan terlarang yang terkandung dalam rokok elektronik (vape).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengesanan di peringkat awal boleh dilakukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya selepas pelaksanaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat Ogos lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dadah yang menjadi ancaman, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi jenis konvensional sebaliknya jenis sintetik yang mempunyai pelbagai bentuk serta nama dan dianggap sangat dinamik.

"Kita ada keupayaan, pegawai pemulihan ada kepakaran tersebut (mengesan bahan). Kalau dulu proses ujian dan verifikasi (bahan terlarang) semua hanya oleh doktor, tak boleh orang lain.

Iklan

"Tapi dalam akta penagih dadah yang kita pinda, tugas itu boleh dibuat oleh pegawai pemulihan ADDK namun kita tak ketepikan pegawai perubatan, di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) masih ada elemen peranan pegawai perubatan tapi ujian awal itu boleh dilakukan oleh pegawai pemulihan," katanya.

Saifuddin ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, lagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berhasrat mewujudkan makmal khusus bagi proses pengujian bahan terlarang.

"Melalui makmal itu nanti boleh kesan semua bahan terlarang tanpa syak... tanpa ragu, kompetensi itu tinggi," katanya.

Sementara itu, mengenai kempen yang dilancarkan hari ini, ia bertujuan menyemarak dan memobilisasi semua warga sekolah termasuk pendidik, pekerja dan murid agar lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta menyegarkan kembali program dan aktiviti antidadah sedia ada di peringkat sekolah dan institusi pendidikan.

KDN dan Kementerian Pendidikan juga mewujudkan Skuad Junior yang berperanan sebagai pasukan sukarelawan dalam kalangan murid yang berfungsi menyebarkan kesedaran tentang bahaya dadah dan bahan kepada warga sekolah, khususnya dalam kalangan murid sekolah.

Sebanyak 26 sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah di seluruh negara disasarkan sebagai projek perintis kepada pelaksanaan Skuad Junior ini bagi sesi persekolahan 2025. - Bernama