Legasi Tun Daim: Dermawan, hubungan rapat dengan Aceh, Indonesia

Iklan
Allahyarham Tun Daim Zainuddin

JAKARTA - Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia, dikenang bukan sahaja kerana kepimpinannya dalam mengelola ekonomi semasa Malaysia berdepan masa yang mencabar, tetapi juga kerana kerja-kerja kebajikan, terutamanya di Aceh, Indonesia.

Walaupun ramai yang tahu peranan Allahyarham Daim ketika Malaysia mengharungi krisis kewangan Asia 1997-1998, tidak ramai yang sedar sumbangannya di belakang tabir di Aceh, sebuah wilayah di hujung utara pulau Sumatra dan inisiatif beliau sangat dirasai.

Iklan
Iklan

Sumbangan beliau melalui dua yayasan fokus di bidang pendidikan dan sokongan kepada komuniti, dua bidang yang beliau percaya akan membawa perubahan positif terhadap wilayah itu.

"Tun Daim sendiri selama ini banyak membantu Aceh melalui kerja-kerja filantropi yang dilakukannya melalui Yayasan Zainuddin dan Yayasan Pok Rafeah (diberi nama sempena ibunya),” menurut penulis buku, Isu-Isu Kontemporer Wakaf Indonesia dalam bahasa Indonesia, Fahmi M. Nasir.

Iklan

Dalam artikel bertajuk, Selamat Jalan Tun Daim: Biar Jasa Jadi Kenangan, Fahmi menjelaskan hal ini memang tidak diketahui oleh masyarakat umum kecuali mereka yang rapat atau pernah ke Aceh ketika Daim datang melawat lokasi pusat pendidikan yang dibantunya.

Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada Rabu lepas.

Iklan

Fahmi pada ketika itu kebetulan di Malaysia untuk bertemu kakitangan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya mengenai projek bukunya.

Menurut Fahmi, Daim bukan saja seorang dermawan namun terlibat secara aktif dengan komuniti tempatan serta sering mengalu-alukan individu dari Aceh yang memerlukan bimbingan termasuk Zainal Arifin, ketua pengarang Serambi Indonesia.

"Walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu baik, Tun Daim tetap bersedia untuk ditemu bual eksklusif dengan Harian Serambi Indonesia,” katanya.

Hubungan Daim dengan Indonesia dan pemimpin tertinggi termasuk Prof Dr Yusril Ihza Mahendra, terutamanya semasa krisis kewangan, juga merupakan elemen penting dalam legasinya.

Fahmi berkata, Daim menyarankan agar Presiden Soeharto menolak pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana ia membawa dampak negatif terhadap majoriti rakyat Indonesia.

Ia disampaikan kepada Yusril, yang diutus Soeharto dan Menteri Kewangan Mar’ie Muhammad, untuk mendengar pandangan Malaysia dan meminta Yusril untuk menyampaikan pendekatan diambil oleh Malaysia untuk menangani krisis itu.

Katanya, Daim turut menulis kata penghantar untuk buku kompilasi Contemporary Waqf Issues in Indonesia, dalam bahasa Inggeris, dan berpesan kepadanya supaya buku itu diberikan kepada Yusril, yang kini Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan serta seorang lagi tokoh yang dianggapnya dapat membantu Aceh pada masa depan.

Fahmi percaya hubungan ini bukan hanya bersifat politik atau ekonomi tetapi ia juga sangat peribadi.

"Tun Daim berusaha untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara termasuk kesediaannya memberi nasihat serta minatnya untuk membantu menyelesaikan cabaran utama di Indonesia, terutamanya di wilayah Aceh.”

"Pernah suatu ketika, Daim bercerita bahawa beliau sedang menyiapkan memoir yang ditulisnya sendiri.

"Memoir itu sudah mencapai ribuan halaman dan perlu dieditnya lagi sebelum diterbitkan,” kata Fahmi.

Fahmi sebelum ini sering diajak oleh Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Besar Kedah yang ibu bapanya berketurunan Aceh, ketika bertemu dengan Daim.

Seiring perjalanan waktu, pertemuan denga Daim meningkat terutama sekali jika beliau ingin membahas isu-isu Aceh dan Indonesia, sebaliknya Fahmi meminta nasihat mengenai isu wakaf.

"Tun Daim laksana seorang mentor yang memberi cadangan, kritik dan pandangan tentang wakaf daripada pengamatannya sebagai tokoh perniagaan, perbankan mahupun berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Kewangan sebanyak dua kali,” tambahnya. - Bernama