GERIK - Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika beriadah bersama keluarga di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai di sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar 2.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Nur Arina Azizan, 20, telah mandi menggunakan pelampung bersama ibunya berusia 48 tahun dan tiga ahli lain.
Difahamkan mangsa telah turun dari pelampung menyebabkan dia dihanyutkan arus deras.
Melihat kejadian itu, ibu mangsa telah terjun untuk menyelamatkan anak perempuannya menyebabkan dia turut dihanyutkan arus sebelum berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz berkata, sepasukan 19 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.11 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan melakukan pencarian permukaan termasuk melakukan 'skin dive' berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas.
"Pasukan kayak daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kerunai turut turun membantu melakukan pencarian dengan menyusuri sungai manakala agensi lain melewati kawasan tebing untuk mencari mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah tiba bagi membantu operasi SAR tersebut manakala khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) telah dipanggil ke lokasi kejadian.
"Operasi SAR yang disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung bagaimanapun ditangguhkan sekitar jam 7 petang.
"Beberapa anggota telah ditempatkan di Pos Kawalan Bomba dan operasi akan bersambung semula jam 8 pagi pada Isnin," katanya.