Siapakah JD Vance?

Iklan
Vance ketika berkempen dalam pilihan raya.

WASHINGTON - Nama James David Vance (JD Vance), 40, kembali hangat diperkatakan selepas bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa sosok itu bakal menjadi naib presidennya.

Trump menyifatkan bahawa keputusannya untuk meletakkan Vance sebagai 'pembantu' dalam mentadbir AS atas faktor kebijaksanaan luar biasa yang ada pada lelaki berkenaan.

Iklan
Iklan

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti dan menilai bakat luar biasa ramai individu, saya memutuskan bahawa Senator JD Vance dari Ohio adalah yang paling sesuai menyandang jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat," petik kenyataan Trump pada Julai lalu.

Kini, selepas Trump berjaya melepasi 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2024, kedua-dua pemimpin ini hanya selangkah untuk menerajui Rumah Putih.

Iklan

Pada pilihan raya berkenaan, Trump menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris. Dalam perlumbaan berkenaan, beliau memperoleh 277 undi perwakilan dan mengesahkan kedudukannya sebagai presiden ke-47 negara itu, menurut Fox News, yang secara tradisinya memihak kepada Trump dan Parti Republikan.

Vance semasa berkempen pada pilihan raya 4 November lalu.

SIAPAKAH JD VANCE?

Iklan

Beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1984 di Middletown, Ohio. Dibesarkan dalam keluarga miskin yang mana semasa kecil beliau terpaksa mengharungi kehidupan yang penuh cabaran dan sukar.

Ibunya, Beverly pernah terperangkap dalam masalah sosial. Semasa kakak Vance dilahirkan, ibunya berhadapan masalah dadah dan menjadi penagih heroin sehingga sentiasa gagal dalam perhubungan.

Semasa bertarung dengan kegagalan demi kegagalan, ibunya pernah berkata kepada Vance bahawa beliau dahulunya adalah pelajar pintar dan meminta kepada anaknya itu supaya tidak memandang hina kepadanya.

Akibat ketagihan dadah, pada suatu hari ibunya bertukar ganas hingga memaksa Vance melarikan diri dari rumah dan menelefon polis untuk menangkap ibunya sendiri, demi keselamatan.

Oleh kerana insiden ini, Vance pernah berputus asa untuk meneruskan hidupnya tetapi beliau akhirnya berjaya diselamatkan oleh neneknya yang dipanggil 'Mamaw'.

Vance menerima sambutan hangat ketika selesai memberi ucapan kempen di Wisconsin.

KEHIDUPAN KEMBALI 'CERAH'

Selepas melewati zaman kanak-kanak yang miskin di selatan Ohio, beliau berkhidmat di Kor Marin, mendapat biasiswa ke Sekolah Undang-undang Yale dan bekerja di San Francisco.

Nama Vance mula terkenal selepas 2016 apabila beliau menulis"Hillbilly Elegy," di mana beliau meneroka masalah sosioekonomi yang dihadapi kampung halamannya. Malah hasil penulisannya ini angkat ke layar perak untuk ditayangkan di saluran Netflix pada 2020.

Menyingkap kisah perjalanan hidupnya dari zaman kanak-kanak yang penuh onak dan duri sehingga beliau menyertai Tentera Laut Amerika, Sekolah Undang-Undang Yale, melibatkan diri dalam modal teroka atau 'venture capitalism' dan seterusnya ke Senat Amerika, Vance, berkata, beliau memahami perit jerih yang perlu diharungi rakyat.

Elon Musk (kiri) bersama Trump (tengah) dan Vance berbincang semasa satu perjumpaan untuk tujuan berkempen di Butler, Pennsylvania.

DAHULU PENGKRITIK TEGAR TRUMP

Vance mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ahli politik yang lantang dan cenderung dengan pandangan populis semasa tiga tahun di Senat.

Beliau kini merupakan penyokong setia agenda Trump, selepas pada awalnya menjadi pengkritik hebat bakal presiden itu.

Sebelum ini beliau begitu hebat menyerang Trump menerusi platform media sosial dengan pernah mengelar Trump dengan gelaran yang kurang baik.

Bagaimanapun perubahan berlaku, hingga beliau menghapus status yang menghina Trump pada 2021.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Vance lantang menentang hak pengguguran dan menjadi penyokong kuat Israel sebelum dan semasa konflik di Semenanjung Gaza. - Agensi