KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah wajar disokong semua pihak.
Pengenalan awal ini membolehkan pelajar menanam minat lebih awal, sekali gus memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran mereka minati.
Ia juga dapat menyediakan pelajar sekolah rendah yang kurang bernasib baik dalam bidang akademik untuk bersedia di peringkat menengah, khususnya apabila mereka tamat Tingkatan Tiga.
Difahamkan, pelajar-pelajar sekolah rendah ini akan didedahkan kepada TVET melalui kurikulum sekolah bermula pada tahun 2027.
Murid sekolah rendah akan diperkenalkan dengan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
Bagi murid di Tahun Lima dan Tahun Enam pula, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.
Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi serta digital dalam pelbagai bidang.
Sebenarnya, TVET kini tidak lagi dipandang sebagai pendidikan kelas kedua, sebaliknya merupakan bidang yang ‘laku keras’ kerana menjamin pelajar tersebut mendapat pekerjaan apabila tamat belajar.
Sebagai contoh, Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai Mowgli Malaysia memilih kemahiran TVET berbanding bidang lain. Walaupun pernah menjadi tumpuan dunia pada usia 14 tahun sehingga berjaya membintangi drama Budok Kuba.
Namun, remaja itu nekad untuk kekal menjadi ‘kampung boy’ di negeri kelahirannya, Terengganu kerana yakin peluang keemasan dapat diperoleh dengan kemahiran TVET yang dimilikinya.
Muhammad Syukur kini menguruskan bengkel motosikal milik abangnya selepas mendapat ilmu dan kemahiran berkenaan semasa melanjutkan pengajian di Pusat GiatMara Hulu Terengganu selama enam bulan.
Jelas, keputusan KPM ini mampu mengembalikan generasi baharu kepada kemahiran tinggi dan masa depan mereka lebih terjamin apabila tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Kita tidak mahu cita-cita anak-anak muda hanya terarah kepada bidang popular seperti artis atau pempengaruh sahaja kerana potensi mereka lebih daripada itu jika diberi pendedahan lebih awal.