Fokus pembangunan belia, pacu ekonomi negara

Iklan
Steven Tiw Tee Siang

GOLONGAN belia merupakan sumber tenaga kerja terbesar yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara. Keupayaan menggembleng tenaga belia akan menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

Dalam mencapai Dasar Pembangunan Belia Negara, beberapa strategi perlu dilaksanakan antaranya pembangunan ilmu, pembangunan kemahiran dan keusahawanan, pemupukan gaya hidup sihat, kemudahan interaksi sosial dan perkongsian dalam pembangunan.

Iklan
Iklan

Ikuti temu bual Noor Ainon Mohamed Yusof bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang yang merupakan pemimpin dan wakil rakyat muda di Perak menyentuh inisiatif kerajaan dalam pembangunan belia.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan YB terhadap peningkatan jumlah bantuan kewangan untuk belia yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025, baru-baru ini?

Iklan

STEVEN: Belanjawan 2025 bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat' jelas menunjukkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.

Golongan ini akan menjadi pemacu utama kemajuan negara dan penggerak transformasi yang inklusif.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisatif kepada golongan belia antaranya peruntukan RM20 juta menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Belia Kreatif Madani (RM30 juta) dan Geran Padanan Sukan.

Skim Mikro Belia (RM150 juta) dan Skim Mula Niaga (RM50 juta) untuk menyokong usaha belia memulakan perniagaan. Selain itu, peluasan program MyLesen kepada 15,000 pelajar B40 membantu memudahkan mereka mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B2.

Apa yang menjadi perhatian adalah meneruskan program Rakan Muda dengan memperuntukkan RM25 juta. Kita melihat peruntukkan ini bertujuan membina potensi belia dengan fokus kepada peranan mereka dalam pembangunan komuniti.

Ini penting kerana belia merupakan sebahagian daripada kepimpinan hari ini dalam komuniti tempatan mereka.

Namun, penglibatan komuniti perlu melangkaui sekadar menyertai program. Insentif cukai kepada universiti yang menawarkan kursus kecerdasan buatan (AI) juga dapat menghasilkan graduan yang mahir yang dapat memenuhi permintaan sektor atau industri teknologi yang sedang berkembang.

SINAR HARIAN: Menyorot kembali Belanjawan 2025, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 antara satu langkah amat bermakna. Bagaimana inisiatif ini boleh membantu belia?

STEVEN: Pengumuman kenaikan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700, yang berkuat kuasa 1 Februari depan dilihat akan memberi impak besar kepada lebih 1 juta pekerja muda dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Langkah ini dapat melihat usaha Kerajaan Madani yang komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan khususnya golongan belia yang mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Ia juga membuka peluang bagi majikan yang akan menerima manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna selepas ini.

Kerajaan bagaimanapun memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan, bermula pada 1 Ogos 2025, ini menunjukkan keprihatinan dan tolak ansur kerajaan kepada majikan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Membangunkan ekonomi negara tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, pihak swasta khususnya majikan harus selari dengan hala tuju yang telah ditetapkan kerajaan.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan YB terhadap peluang pekerjaan dalam konteks negeri Perak dan penglibatan belia dalam aktiviti?

STEVEN: Pertumbuhan ekonomi yang adil dan inklusif hanya akan tercapai apabila seluruh rakyat termasuk belia, diberi ruang untuk menyumbang secara aktif. Negeri Perak bersaing dengan Pulau Pinang dan Selangor menyebabkan penghijrahan keluar tenaga kerja dalam kalangan orang muda.

Perak mempunyai ramai belia berbakat malah sangat dinamik. Kerajaan negeri perlu ambil pendekatan agresif untuk mengurangkan 'brain drain' kepada negeri lain.

Ia bukan bermaksud kurangnya peluang pekerjaan sebaliknya perlu pekerjaan bergaji tinggi itu tidaklah banyak.

Malah dalam tempoh jangka panjang ia menjadi kekangan kepada majikan mendapatkan pekerja.

Sesuatu bidang pekerjaan cenderung untuk mendapatkan tenaga muda namun, dengan penghijrahan golongan itu ia menjadi bebanan pula kepada majikan disamping negara mendepani negara menua.

Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara tua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas.

Steven Tiw Tee Siang

SINAR HARIAN: Apakah pelaksanaan projek mega menerusi Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dirangka kerajaan negeri dapat membantu belia?

STEVEN: Empat projek mega bakal mengangkat Perak sebagai antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang.

Projek berkenaan adalah Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan kawasan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) di Chemor akan membantu ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat sendiri.

Tidak terlambat kita untuk menarik Orang Perak untuk bekerja di negeri sendiri berikutan bakat orang muda sedang digilap dari awal dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan program latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) diyakini mampu menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang berlaku dalam pelbagai industri di negara ini.

Langkah awal telah dilaksanalan melibatkan semua peringkat pengajian. Terdapat 12 kementerian menyediakan program-program berkaitan TVET, bermula peringkat sijil, melibatkan 686 institusi awam seluruh Malaysia.

Antara sektor yang memerlukan graduan TVET adalah automotif, pembuatan, pembinaan, elektrik dan elektronik, pelancongan, pelbagai jenis teknologi, penerbangan, perbankan, jualan, logistik, fesyen, perikanan dan lain-lain.

SINAR HARIAN: Apakah pembangunan yang bagaimana menjadi keutamaan YB untuk masyarakat di kawasan DUN Tronoh?

STEVEN: Ekonomi DUN Tronoh kebanyakannya melibatkan pertanian seperti kelapa sawit dan perternakan ruminan serta sebahagian kecil yang perniagaan.

Jadi dengan perancangan untuk melaksanakan pembangunan ladang solar di kawasan DUN saya akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Selain itu, DUN Tronoh juga dijangka akan menerima tempias pembangunan daripada projek Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE). Projek bernilai sekitar RM6.2 billion sepanjang 60 kilometer akan bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Bekor, Seri Iskandar seterusnya Kuala Kangsar dan dijangka siap pada tahun 2028. Jika ada susur keluar ke melalui Tronoh sudah tentu ia akan menarik kehadiran pengunjung ke daerah Kinta khususnya Tronoh.

Selain itu, sejak Pilihan Raya Umum ke-15, kita dapat lihat banyak projek dibayai kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan menaik taraf pasar awam dan tandas awam bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

Kita juga mengharapkan kerajaan turut membantu belia tempatan dengan menyediakan fasiliti sukan dan institut pengajian agar golongan muda ini terus berada di kawasan Parlimen Batu Gajah.

Steven Tiw Tee Siang yang merupakan pemimpin dan wakil rakyat muda di Perak melaksanakan pelbagai program bersama belia.

SINAR HARIAN: Sebagai pemimpin muda, apakah cabaran yang dihadapi YB sepanjang dua tahun menjadi wakil rakyat?

STEVEN: Menjadi wakil rakyat ia menggalas amanah yang besar selain menjadi mekanisme menyampai pendapat dan kehendak rakyat.

Cabaran sebagai pemimpin yang baru 'setahun jagung', sudah tentu tidak terlepas dengan stereotaip bahawa orang muda ini sebagai kurang berpengalaman serta menerima perbandingan dengan kepimpinan terdahulu.

Namun, elemen itu digunakan sebaiknya dalam menonjolkan prestasi di DUN Tronoh yang mempunyai enam kampung tradisi, lima kampung baru dan satu penempatan kaum India. Saya akan kerap turun padang melihat dan mendengar nasihat rakyat yang berpengalaman dalam mendapatkan pandangan serta solusi. Setakat ini, penerimaan rakyat sangat baik.

PROFIL

Nama: Steven Tiw Tee Siang

Umur: 31 tahun

Asal: Ipoh

Status: Berkahwin

Pendidikan tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perdagangan, Universiti Wollongong, Australia.

Jawatan: ADUN Tronoh