SHAH ALAM - UMNO Sabah menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.
Sehubungan itu, Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh terhadap hal tersebut.
Menurutnya, gesaan tersebut dilakukan adalah bukti kepada sokongan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
"Pendedahan-pendedahan ini harus disiasat oleh pihak berkuasa terutamanya oleh SPRM kepada kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah agar dapat memastikan keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.
Sebelum ini, Bung Moktar menggesa pihak berkuasa menyiasat pemberi dan penerima rasuah dalam siri klip video yang didakwa menunjukkan ahli politik Sabah terlibat dalam perbuatan terkutuk itu.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO sabah tidak terlibat dalam skandal tersebut.
Pada masa sama, Suhaimi turut senada dengan pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan itu.
"Kita beri ruang seluas-luasnya dan hormat kepada proses siasatan.
"Ini agar siasatan mampu dijalankan secara tuntas, teliti dan adil mengikut lunas undang-undang tanpa gangguan,” ujarnya.