RIO DE JANEIRO (Brazil) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa industri elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor Malaysia dan Brazil untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain dan meningkatkan kerjasama berikutan Selatan Global memainkan peranan penting.
"Walaupun kami dari negara yang jauh, potensinya sangat besar. Brazil adalah tonggak utama ekonomi Amerika Latin manakala Malaysia dengan pantas menempatkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor dan destinasi menarik untuk pusat data dan kecerdasan buatan (AI)," kata Anwar.
Bercakap pada mesyuarat meja bulat dengan wakil daripada industri semikonduktor dan ketua industri di sini hari ini, beliau menekankan kepentingan perkongsian ini untuk memacu inovasi dan kemajuan dalam kalangan negara di Selatan Global.
"Jadi, kerjasama dengan Brazil, pada saya, adalah sangat kritikal pada ketika ini kerana ia akan membolehkan negara-negara di Selatan memanfaatkan kepakaran, pengetahuan dan penyelidikan mereka utnuk mencatatkan kecemerlangan dalam bidang yang boleh memberi impak besar," katanya.
Beliau juga menekankan peluang kerjasama di luar sektor tradisional.
"Dalam konteks Selatan Global adalah penting bagi kita mengukuhkan kerjasama sambil meneruskan libat urus dalam perdagangan terbuka dengan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China," katanya.
Acara itu dihadiri 34 pemimpin korporat daripada 20 syarikat terkemuka merentasi pelbagai industri.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata walaupun jumlah perdagangan semikonduktor dan eksport dari Brazil agak kecil berbanding Malaysia, industri di Brazil merekodkan kecemerlangan dalam beberapa bidang yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.
Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang komprehensif meliputi aktiviti bahagian ‘front-end’ dan ‘back-end’, pada masa ini ia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan eksport melebihi AS$85 bilion.
Ekosistem Malaysia termasuk syarikat global terkemuka seperti Intel, Infineon, Micron, dan Texas Instruments serta syarikat tempatan seperti Carsem dan Inari.
Sementara itu, nilai eksport semikonduktor Brazil berjumlah AS$1 bilion dan kelebihan daya saing negara terletak itu adalah pada pembuatan litar bersepadu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata, potensi kerjasama dalam industri semikonduktor adalah salah satu daripada beberapa topik dibincangkan semasa pertemuannya dengan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva pada Ahad.
"Kami berdua sangat neutral dalam perdagangan dan pembangunan serta mengambil pandangan sangat bebas mengenai isu dan konflik antarabangsa. Kami tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa besar, dan itu menjadikan pendirian kami agak serupa dari segi interaksi dasar luar negara kami.
"Dan bagi pendapat saya, apa yang paling penting ialah kami berdua mahu memberi tumpuan kepada ekonomi, pembangunan dan teknologi baharu," katanya.
Anwar tiba di Rio de Janeiro pada hari Sabtu untuk lawatan rasmi pertamanya ke Brazil atas jemputan da Silva selepas menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Lima, Peru.
Malaysia adalah antara 17 negara tetamu yang dijemput ke Sidang Kemuncak G20 di Brazil bersama negara seperti Chile, Qatar, Mesir dan Singapura.
Pada 2023, Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, merupakan rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.
Antara negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar. - Bernama
___________________________________________________________________
Brazil, Malaysia teroka peluang daripada ASEAN 2025 dan BRICS
RIO DE JANEIRO - Malaysia dan Brazil berminat untuk bersama-sama meneroka inisiatif semasa pengerusi ASEAN Malaysia tahun depan, bertepatan dengan jawatan presiden BRICS Brazil dan peranannya sebagai hos Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP)
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak G20 di sini, kedua-dua pemimpin telah berikrar untuk bekerjasama bagi sistem pelbagai hala yang diaktifkan semula berdasarkan prinsip-prinsip Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin menyedari keperluan untuk pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus global untuk menjadikannya lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab serta mengambil kira aspirasi negara-negara membangun dan sedang membangun untuk memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.
Ini akan mencerminkan realiti sosial, ekonomi dan politik serta kesusahan abad ke-21 serta peningkatan penonjolan Global Selatan, kata mereka.
Pada masa yang sama, Anwar dan da Silva juga telah menyedari kemunculan pusat kuasa baharu, pembuatan keputusan dasar dan pertumbuhan ekonomi yang seharusnya membuka jalan kepada dunia multipolar yang lebih saksama, adil, demokratik dan seimbang. - Bernama