Malaysia, Brazil desak gencatan senjata segera di Gaza

Iklan
Anwar bersalaman bersama Presiden Luiz Inácio Lula da Silva semasa menghadiri G20 Summit 2024 di Brazil pada Ahad. Foto Bernama
RIO DE JANEIRO - Malaysia dan Brazil menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza serta menuntut Israel agar memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan.

"Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala antara Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak G20.

Anwar dan Lula turut menegaskan komitmen masing-masing untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.

Mereka turut mengalu-alukan pelancaran"Global Alliance against Hunger and Poverty”. Presiden Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan itu sebagai anggota pengasas.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mereka terhadap usaha bersama-sama dalam membasmi kelaparan di seluruh dunia menjelang akhir dekad ini, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Dalam perkembangan lain, kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan mereka terhadap pengiktirafan Fasiliti Hutan Tropika Selamanya (TFFF), yang diperkenalkan oleh Brazil pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam merangka mekanisme berkenaan menjelang pelancarannya di Belem pada 2025.

"Dengan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai negara-negara yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi, Brazil dan Malaysia melihat TFFF sebagai alat inovatif untuk memajukan pemuliharaan hutan hujan tropika di negara-negara membangun,” menurut kenyataan bersama.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Brasília, meraikan hubungan dua hala yang kukuh berdasarkan nilai-nilai serta matlamat bersama seperti keamanan, kerjasama dan pembangunan mampan.

Kedua-dua pemimpin menzahirkan rasa puas hati dengan kemajuan yang dicapai sejak perbualan telefon pada 9 Februari lepas, termasuk peningkatan lawatan peringkat tinggi sepanjang tahun.

Mereka turut mengalu-alukan Mesyuarat Rundingan Dua Hala Malaysia-Brazil yang pertama pada 18 September lepas, yang menjadi platform bagi memajukan agenda politik, ekonomi dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Anwar tiba di negara terbesar di Amerika Selatan dari Lima, Peru, pada Sabtu untuk lawatan rasmi dan sebagai wakil negara tetamu di Sidang Kemuncak G20.

Malaysia bersama-sama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, UAE dan Vietnam, turut menjadi negara tetamu pada Sidang Kemuncak G20.

G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Bernama