Jurucakap Hizbullah, Mohammad Afif maut dalam serangan Israel di Lubnan

Iklan
Serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan di tengah Beirut telah membunuh jurucakap Hizbullah Mohammad Afif. Foto hiasan AFP

BEIRUT - Serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan di tengah Beirut telah membunuh jurucakap Hizbullah Mohammad Afif, menurut pegawai kumpulan pejuang Lubnan itu.

Selain itu, tiga orang lagi cedera dalam serangan di daerah Ras al-Nabaa yang padat penduduk di ibu negara Lubnan, kata pegawai pada Ahad, sambil menambah bangunan itu disasarkan tanpa amaran.

Iklan
Iklan

Ramai rakyat Lubnan yang telah berlindung di kawasan kejiranan berkenaan kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel di pinggir selatan Beirut itu. Tentera Israel tidak secara rasmi mengarahkan kawasan itu dikosongkan sebelum melancarkan serangan maut itu.

"Jelas sekali, ini adalah kesinambungan dasar Israel untuk mengejar bukan sahaja sayap tentera Hizbullah, tetapi juga pegawai dalam bahagian pentadbiran organisasi itu,” kata Dorsa Jabbari dari Al Jazeera.

Iklan

"Apa yang cuba dilakukan oleh Israel ialah mengurangkan keupayaan kumpulan itu dalam semua aspek: ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan."

Mohammad Afif menguruskan stesen televisyen Al-Manar Hezbollah selama beberapa tahun sebelum mengambil alih sebagai pegawai perhubungan media tertinggi untuk kumpulan pejuang itu.

Iklan

Beliau juga pernah mengendalikan beberapa sidang media di tengah-tengah runtuhan di pinggir selatan ibu kota yang musnah akibat pengeboman Israel berminggu-minggu.

Dalam kenyataan terakhirnya yang dikongsi dengan wartawan pada 11 November lalu, beliau berkata, tentera Israel tidak dapat menduduki mana-mana wilayah di Lubnan dan Hizbullah mempunyai senjata dan bekalan yang mencukupi untuk memerangi"perang yang panjang."

Pembunuhan Mohammad Afif merupakan yang terbaharu dalam rentetan pembunuhan pemimpin tertinggi Hizbullah, termasuk ketuanya, Hassan Nasrallah, sejak Israel secara mendadak meningkatkan serangannya di seluruh Lubnan pada akhir September selepas setahun berbalas tembakan di sepanjang sempadan.

Hassan Nasrallah telah dibunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di kawasan kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut pada akhir September lalu.

"Lumpuh kepimpinan Hizbullah”

Penganalisis tentera, Elijah Magnier memberitahu Al Jazeera, pembunuhan Mohammad Afif merupakan sebahagian daripada strategi Israel untuk melumpuhkan kepimpinan Hizbullah dan keupayaannya untuk berkomunikasi dengan dunia.

Tindakan sedemikian juga akan menjejaskan keupayaan Hizbullah untuk menyelaraskan tindak balas menentang naratif perang Israel, yang sekali gus akan memastikan pegawai-pegawai kepimpinan lain dalam Hizbullah menyerlahkan diri mereka, kata Magnier.

"Dan ini juga, orang berprofil tinggi di Hizbullah, tidak kira sama ada mereka anggota tentera atau bukan tentera, mereka boleh sahaja dibunuh,” katanya kepada Al Jazeera dari ibu kota Belgium, Brussels.

Sementara itu, dua askar Lubnan telah terbunuh selepas tentera Israel menyasarkan sebuah pos tentera di al-Mari, daerah Hasbaiyya di selatan Lubnan, menurut tentera negara itu.

Dalam serangan berasingan Israel ke atas daerah Mar Elias di tengah Beirut, dua orang terbunuh. Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan itu turut mencederakan 13 yang lain.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Lubnan, Abbas Halabi mengumumkan, sekolah dan institusi pengajian tinggi di Beirut dan kawasan sekitarnya akan ditutup selama dua hari, selepas serangan Israel melanda pusat bandar.

Serangan Israel membunuh 29 orang dan mencederakan 122 pada hari Sabtu, menjadikan jumlah korban sejak Oktober tahun lalu kepada 3,481 maut dan 14,786 cedera, Kementerian Kesihatan melaporkannya pada Ahad. - Al Jazeera/Awani