Usia lanjut bukan penghalang untuk golongan veteran dan pesara menceburi bidang keusahawanan apabila kerajaan menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melancarkan program baharu Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata, tujuan inisiatif itu dilakukan adalah untuk memperkasakan usahawan dalam kalangan berkenaan.
Menurutnya, pesara dan veteran yang dimaksudkan terdiri daripada kumpulan unit badan beruniform, kerajaan, skim pemisahan sukarela (VSS) dan skim pemisahan bersama (MSS).
"I-VIP menyasarkan kumpulan itu untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam perniagaan francais.
"Menerusi program ini, Pernas akan menyediakan bantuan pembiayaan, latihan, khidmat nasihat dan rundingan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Menara PNS pada Selasa.
Jumlah pembiayaan dan kriteria
Mengulas mengenai peruntukan yang disalurkan kerajaan, Tengku Mohamed Fadhli memaklumkan pihaknya menerima RM3 juta termasuk pembiayaan dan latihan serta khidmat nasihat.
Jelas beliau, I-VIP menawarkan had pembiayaan bermula RM20,000 hingga RM500,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang ingin diusahakan.
"Menariknya mengenai program ini, peserta bakal menikmati kadar pembiayaan empat peratus baki berkurangan.
"Bukan itu sahaja, mereka juga akan memperoleh margin pembiayaan sehingga 90 peratus dan tempohnya lima hingga 10 tahun,” ujar Tengku Mohamed Fadhli.
Ketika ditanya mengenai kriteria peserta, beliau memaklumkan bahawa program itu terbuka kepada pesara dan veteran bumiputera, warganegara Malaysia berumur 41 hingga 65 tahun.
Kriteria seterusnya, pemilik perniagaan dan pemegang saham perlu mempunyai rekod kredit yang baik serta tidak diisytihar muflis.
Sementara itu, beliau berkata, bagi mana-mana pesara dan veteran yang telah memiliki perniagaan serta mahu mengikuti program itu, mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan.
"Ia mestilah perniagaan sendirian berhad (Sdn. Bhd.), perkongsian atau milikan tunggal, pesara atau veteran perlu memegang sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham dalam syarikat.
"Seterusnya, syarikat juga hendaklah bebas daripada sebarang tindakan undang-undang dan tidak diisytiharkan muflis,” jelasnya.
Harapan program I-VIP
Dalam pada itu, Tengku Mohamed Fadhli turut berkongsi bahawa Pernas berharap agar peruntukan sebanyak RM3 juta itu berjaya diberikan kepada mereka yang layak sebelum Julai 2025.
Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan sebanyak RM2.5 juta sebagai pembiayaan kepada peserta dan selebihnya (RM500,000) digunakan untuk latihan serta rundingan.
"Kita tidak menggunakan keseluruhan dana ini untuk pembiayaan kerana mungkin ada dalam kalangan pesara ini belum bersedia untuk memulakan perniagaan.
"Sebab itu, RM500,000 daripada dana tersebut untuk latihan. Kita tidak mahu pesara ini membuka perniagaan dalam keadaan mereka tidak bersedia dan mempunyai ilmu asas perniagaan,” katanya.
Sebagai sebuah entiti di bawah
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau berkata, pihaknya berharap dapat mempergiat pembangunan perniagaan yang menyasarkan golongan veteran serta pesara bumiputera.
"Pernas juga berharap agar inisiatif ini dapat menyokong dan mempercepatkan perkembangan perniagaan usahawan kumpulan tersebut,” ujar beliau.
Perancangan tahun hadapan Tengku Mohamed Fadhli berkata, mengenai strategi Pernas 2025, pihaknya bakal mengadakan Pernas International Franchise Festival 2025 (PIFF 2025) pada 7 hingga 9 Februari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurutnya, tema bagi PIFF 2025 adalah berkaitan kopi iaitu Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs.
"Tujuan festival itu diadakan adalah untuk mewujudkan kelainan. PIFF merupakan platform utama untuk usahawan baharu dan berpengalaman menyertai pelbagai program yang bermanfaat.
"Peserta berpeluang menerokai pelbagai peluang francais dan berinteraksi dengan pemain industri untuk mencipta pelbagai perniagaan.
"Mereka juga boleh menerokai pelbagai peluang menarik seperti capaian pengguna, pemacuan teknologi, usahasama global, kerjasama komuniti dan pembiayaan masa hadapan,” katanya.