[VIDEO] Bung Moktar, isteri diperintah bela diri kes rasuah RM2.8 juta

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ini bermakna Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu, terpaksa menjejakkan kaki ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.

Iklan
Iklan
Bung Moktar dan Zizie Izette diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin, atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023 lalu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Iklan

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Iklan

Bung Moktar juga dituduh atas pertuduhan ketiga, secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bung Moktar dan isterinya bersedia mmebela diri atas tiga kes rasuah RM2.8 juta dihadapi mereka.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding rayuan pendakwaan di Istana Kehakiman pada Isnin, Bung Mokhtar berkata, beliau akur dengan keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri.

"Insya-ALLAH. Tiada masalah. Kalau itu tuntutannya, kena lah (naik turun mahkamah)," katanya ringkas.