Nilai 3 tiada pelanggan: Kerajaan negeri giat rancang pembangunan

Iklan
Arul. Laporan Sinar Harian

NILAI - Kerajaan Negeri Sembilan giat merancang pembangunan di daerah ini dengan memberi nafas baharu sekali gus menaikkan kembali reputasi Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, ia turut bermatlamat menjadikan Nilai sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Iklan
Iklan

"Kawasan ini bakal dijadikan sebagai lokasi wajib dikunjungi menerusi pelbagai perancangan yang lebih tersusun.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah melaksanakan penambahbaikkan kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan, longkang, tandas, dan lain-lain infrastruktur di kawasan berkenaan semuanya sudah kita baiki bagi memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, rata-rata peniaga di Pusat Perniagaan Nilai 3 mendakwa premis perniagaan mereka lengang sehingga menjejaskan pendapatan sebanyak 50 peratus.

Pusat perniagaan yang pernah menjadi tumpuan ramai sebelum 2019 itu dilihat seolah-olah seperti sebuah pekan mati.

Iklan

Suasananya dikatakan tidak ubah seperti ketika negara dilanda Covid-19 sekitar lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata, terbaru MBS, pemaju dan peniaga Nilai 3 telah merancang untuk membina satu mini 'Great Wall' di Nilai 3 bagi memberi nilai tambah produk pelancongan di kawasan tersebut.

"Ia secara tidak langsung dapat menjadikan Nilai 3 sebagai simbol pembangunan moden yang memperkukuh identiti Nilai sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Tambahnya lagi, inisiatif seperti ini menggambarkan bahawa usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasa daya tarikan Negeri Sembilan di mata pelancong dalam dan luar negara.