PITAS - Parti Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan akan mewujudkan bank dan syarikat penerbangan Sabah sendiri sebagai manifesto mereka yang seterusnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Dua manifesto terbaharu yang diumumkan Presidennya, Datuk Peter Anthony itu, sebagai tambahan lima manifesto yang diumumkannya sebelum ini.
"Sudah tiba masanya kita mewujudkan bank sendiri (bank Sabah) sama seperti dilakukan Sarawak sebelum ini, ia bagi memudahkan orang-orang kita, orang-orang kampung berurusan, kerana kita tahu semua bank yang ada di negeri ketika ini berpusat di Kuala Lumpur.
"Satu lagi manifesto yang saya ingin umumkan di sini ialah mewujudkan syarikat penerbangan Sabah sendiri. Kita sedia maklum harga tiket penerbangan sangat tinggi, ada sampai RM5,000, RM3,000, RM2,000 sehinggakan ada pelajar-pelajar kita tidak dapat balik ke kampung halaman masing-masing kerana tiada duit.
Peter sebelum ini telah mengumumkan lima manifesto KDM sekiranya parti itu menerajui kerajaan selepas PRN17.
Lima manifesto berkenaan adalah melibatkan biasiswa pendidikan, bantuan bulanan kepada warga emas, pemberian rumah kepada golongan miskin, mewujudkan semula pemberian dividen Amanah Saham Sabah serta memberi fokus kepada usaha menambah baik pengurusan tanah di Sabah.
Sementara itu, bercakap mengenai sasaran kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRN17, beliau berkata, jumlahnya mungkin akan bertambah dari masa ke masa berikutan permintaan daripada banyak kawasan termasuk di kawasan bukan majoriti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta kawasan campuran.
Peter sebelum ini telah mengumumkan akan bergerak secara solo pada PRN17 dengan menyasarkan antara 30 hingga 35 kerusi untuk ditandingi.