DATUK Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ini bermakna Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu, terpaksa menjejakkan kaki ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023 lalu.
[KRONOLOGI]
3 Mei 2019
Pelakon Zizie Izette didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, Bung Moktar bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta.
3 Mei 2019
Bung Moktar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta.
4 Julai 2019
Pendakwaan mohon kes rasuah Bung Moktar dan Zizie Izette di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
9 Ogos 2019
Mahkmah Tinggi tolak permohonan pendakwaan untuk pindah kes rasuah Bung Moktar dan Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi.
20 September 2019
Perbicaraan kes Bung Moktar dan Zizie Izette di Mahkamah Sesyen bermula 2 Januari 2020.
17 Mac 2020
Perbicaraan Bung Moktar dan Zizie Izette dilapangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19.
12 Mei 2020
Perbicaraan Bung Moktar dan Zizie Izette bermula 14 Mei 2020.
14 Februari 2022
Pendakwaan mohon untuk soal balas saksinya sendiri yang dianggap belot.
17 Mei 2022
Pendakwaan tutup kesnya selepas memanggil 30 saksi dan tetapkan hujahan lisan
24 Jun 2022
Mahkamah Sesyen tetapkan 2 September 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
2 September 2022
Mahkamah Sesyen perintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri dan tetapkan tarikh pada 23 September 2022.
23 September 2022
Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette tangguh perbicaraan bela diri.
26 September 2022
Zizie Izette failkan notis usul utk semak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkannya bela diri atas tuduhan rasuah dan didengar bersama permohonan suaminya.
7 Oktober 2022
Mahkamah Tinggi benarkan Zizie Izette untuk pindah kesnya didengar bersama permohonan suaminya, Bung Moktar.
17 Oktober 2022
Pendakwaan bantah permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette semak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan mereka bela diri.
11 November 2022
Mahkamah Tinggi tetapkan 9 Disember untuk keputusan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi semakan keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan bela diri.
9 Disember 2022
Bung Moktar dan Zizie Izette gagal dalam permohonan untuk semak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan mereka membela diri.
12 Disember 2022
Bung Moktar dan Zizie Izette failkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk semak keputusan Mahkamah Sesyen perintahkan mereka bela diri.
3 Januari 2023
Mahkamah Tinggi sekali lagi membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menggantung perbicaraan membela diri
25 Januari 2023
Mahkamah Rayuan tetapkan 22 Mac 2023 untuk pengurusan kes rayuan pasangan suami isteri itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen perintahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah.
27 April 2023
Pendakwaan failkan bantahan awal terhadap rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette berhubung keputusan Mahkamah Sesyen perintahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah.
22 Mei 2023
Mahkamah Rayuan tetapkan 7 Julai 2023 untuk mendengar bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette berhubung keputusan Mahkamah Sesyen perintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
7 Julai 2023
Mahkamah Rayuan kembalikan semula permohonan semakan difailkan Bung Moktar dan Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan itu.
10 Julai 2023
Prosiding bela diri Bung Moktar dan Zizie Izette ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen.
14 Julai 2023
Mahkamah Tinggi tetapkan 7 September 2023 untuk dengar permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
7 September 2023
Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette daripada tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.
19 September 2023
Pendakwaan failkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu.
14 Disember 2023
Mahkamah Rayuan tetapkan 29 Disember 2023 untuk pengurusan kes berhubung pembebasan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette.
8 Mei 2024
Pendakwaan kemukakan tujuh alasan dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 3 Mei 2024.
29 Julai 2024
Pendengaran rayuan pendakwaan terhadap Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette yang dijadualkan hari berkenaan (29 Julai) ditangguhkan 9 Oktober lepas.
9 Oktober 2024
Mahkamah Rayuan tetapkan 18 November untuk keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan isteri beliau, selepas mahkamah selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak.
18 November
Pasangan suami isteri itu diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, atas tiga pertuduhan rasuah itu.