[VIDEO] Lambakan produk China: MITI umum laporan tidak lama lagi

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengumumkan hasil laporan mengenai impak kapasiti berlebihan dari China terutama dalam industri besi dan keluli tidak lama lagi.

Timbalan Menteri berkenaan, Liew Chin Tong berkata, laporan itu telah disediakan menerusi sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan menerusi MITI.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu lambakan produk pembuatan China menjadi kerisauan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia berikutan kelembapan ekonomi yang dialami negara itu khususnya dalam industri pembinaan dan harta tanah.

Chin Tong pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

"Kapasiti di Asia Tenggara untuk besi dan keluli akan bertambah dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang. Pada 2021, jumlah kapasiti di Asia Tenggara adalah 75 juta tan metrik, bermakna kapasiti berpotensi meningkat melebihi dua kali ganda (150 juta tan metrik) pada 2026.

Iklan

"Jawatankuasa bebas itu telah menyediakan laporan berkenaan kepada MITI. Ia akan memberikan hala tuju untuk negara kita menghadapi isu lebihan kapasiti dalam industri besi dan keluli," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Saifuddin ingin tahu mengenai perancangan khusus bagi menyelesaikan isu lambakan serta pengeluaran besi dan keluli dari China.

Iklan

Sementara itu, Liew berkata, bagi tempoh 2015 hingga 2023, kerajaan telah menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan dan tiga tindakan pelindung terhadap produk diimport dari China termasuk produk besi dan keluli, plastik serta bahan binaan yang telah menyebabkan kemudaratan material atau kecederaan serius kepada industri domestik Malaysia.

"Kerajaan juga sedang menjalankan siasatan antilambakan ke atas empat produk besi dan keluli serta plastik yang berkemungkinan disebabkan lebihan kapasiti daripada industri pembuatan China.

"Siasatan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah selaras dengan akta domestik dan peraturannya serta perjanjian-perjanjian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," kata Liew menjawab soalan asal Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam).

Hasni bertanyakan langkah yang diambil kerajaan untuk melindungi industri tempatan daripada lebihan kapasiti pembuatan China termasuk tekanan harga kepada produk tempatan dan menghalang perkembangan sektor pembuatan negara serta strategi untuk memastikan daya saing sektor perindustrian Malaysia tetap berdaya maju.

Liew berkata MITI juga sedang menyemak semula untuk menambah baik Akta 504 dan Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-lambakan 1994 (Peraturan 1994) selaras dengan amalan perdagangan semasa di peringkat antarabangsa untuk memastikan ekosistem peraturan yang lebih kondusif supaya Malaysia menjadi hab perniagaan yang mampan.

Selain itu, pada 30 Oktober 2024, Liew berkata, MITI telah melancarkan Sistem Pengurusan Penyiasatan Remedi Perdagangan (TRIMA), platform Single Window digital yang bertujuan memodenkan penyiasatan remedi perdagangan.

Menurutnya TRIMA antara lain dapat meningkatkan kecekapan penyiasatan selain dilihat berpotensi memendekkan tempoh siasatan berbanding tempoh statutori semasa yang mengambil masa sembilan bulan. - Bernama