Penyeludup pecut bot pancung larikan rokok seludup

Iklan
Rokok-rokok seludup yang ditinggalkan suspek penyeludupan. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID.

PASIR PUTEH - Dua anggota sindiket penyeludup bertindak meloloskan diri dengan memecut bot pancung berisi rokok seludup bernilai RM180,000 sebelum bot itu terperosok ke hutan paya bakau di muara sungai, Pengkalan Kubor, Tumpat, Jumaat lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, hasil maklumat dan risikan pihaknya mengesan pergerakan bot sepanjang 12 meter terbabit pada jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

"Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu bergerak dalam keadaan laju dan mencurigakan di muara Sungai Tumpat lalu memecut apabila ternampak pihak berkuasa.

Erwan Shah (dua dari kanan) menunjukkan peta pihak berkuasa mengejar suspek penyeludupan rokok di Tumpat. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID.

"Anggota Maritim bertindak mengejar mereka kira-kira 20 minit sejauh lima batu nautika sehingga memasuki kawasan hutan bakau sebelum suspek merempuh pokok bakau dan melarikan diri meninggalkan bot terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau memberitahu, pemeriksaan di dalam bot menjumpai 51 peti berisi 2,550 karton rokok seludup yang diselimutkan dengan kanvas.

Bot yang digunakan oleh suspek-suspek untuk kegiatan penyeludupan rokok. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID.

"Rokok-rokok dengan kanvas itu berjumlah 510,000 batang dianggarkan bernilai RM180,000 itu dirampas manakala jumlah rampasan bersama bot berjumlah RM500,000.

Iklan

"Keadaan air surut, gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi mengeluarkan bot pancung bersama muatan yang terkandas itu untuk dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Erwan Shah berkata, dalam satu lagi kes berasingan, pihaknya merampas 28 peti berisi 1,400 karton kotak rokok dianggarkan bernilai RM100,000 pada jam 12.30 tengah malam tadi (Isnin).

"Rokok seludup berjumlah 280,000 batang itu ditemukan di tebing Sungai Kelantan di Pulau Gagak di Kuala Besar, Kota Bharu.

Erwan Shah. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID.

"Kami menerima maklumat awal kehadiran bot mencurigakan dan menyerbu kawasan tetapi mendapati suspek sudah menghilangkan diri manakala rokok-rokok ditinggalkan di lokasi terbabit,” katanya.

Tambah beliau, kesemua rokok dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan siasatan diteruskan mengikut Akta Kastam 1967.