SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan terdapat aktiviti baru penipuan melibatkan iklan rumah sewa.
Setiausaha Agongnya, Dr Saravanan Thambirajah mendedahkan penipu ini memperdayakan pencari rumah sewa termasuk kumpulan pelajar asing dengan menyamar sebagai ejen hartanah.
Menurutnya, mereka menipu mangsa dengan mempamerkan hartanah sewaan, mengutip bayaran pendahuluan, dan kemudian menghilangkan diri tanpa menunaikan janji mereka.
"Ramai pelajar asing telah menjadi mangsa penipuan ini disebabkan oleh tiada pengetahuan mengenai prosedur sewaan rumah tempatan dan tidak mendapat maklumat yang tepat.
"Penipu sering memuat naik iklan dalam talian dan menggunakan profil media sosial sebagai ejen hartanah yang profesional supaya kelihatan dipercayai tetapi mereka menggunakan kad perniagaan yang palsu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, modus operandi penipu ini ialah mengatur lawatan ke rumah sewa dan memaklumkan terdapat permintaan tinggi untuk hartanah tersebut.
"Mangsa kemudiannya akan termakan umpan untuk membuat bayaran pendahuluan segera bagi mengesahkan penyewaan unit.
"Setelah menerima bayaran, ejen tersebut akan menghilangkan diri selepas menerima wang tersebut,” katanya.
Tambahnya, untuk perlindungan diri, pengguna perlu mengambil beberapa langkah berjaga-jaga seperti memeriksa kelayakan ejen atau agensi hartanah yang mereka temui.
"Selain itu, sentiasa berurusan dengan ejen atau agensi hartanah yang sah. Pastikan kesahihan agensi hartanah tersebut dengan memeriksa butiran pendaftarannya di platform rasmi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Pengguna perlu mengelakkan membuat bayaran ke akaun bank peribadi dan sebaliknya memastikan bahawa semua transaksi dijalankan melalui akaun rasmi agensi ataupun syarikat,
"Manakala pelajar asing dinasihatkan untuk mendapatkan panduan daripada institusi pengajian mereka atau rakan-rakan sebelum meneruskan sebarang urusan sewaan bagi mengelakkan tertipu,” katanya.
Ujarnya, dokumentasi amat penting untuk mendapatkan perjanjian sewaan yang ditandatangani dengan betul dengan disertakan resit rasmi bagi setiap bayaran.
"Mereka yang menjadi mangsa penipuan perlu membuat laporan polis bersama semua bahan bukti yang relevan, termasuk resit pembayaran, rekod komunikasi, dan iklan.
"Mangsa juga boleh melaporkan penipuan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian hotline 997," katanya.
Maklumat lanjut mengenai NSRC dan perkhidmatannya boleh didapati di laman web https://nfcc.jpm.gov.my/index.php/en/faq/about-nsrc.
Selain itu, mangsa digalakkan untuk memaklumkan kepada FOMCA atau Persatuan Pengguna yang berkaitan untuk membantu meningkatkan kesedaran dan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.