PENGASAS Syarikat KK, Datuk Seri Dr KK Chai menerima Anugerah Usahawan Terbaik di SEBA Awards 2024.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut berkata, impian untuk mengetengahkan jenama dengan harga mampu milik selain berupaya memberi khidmat kepada komuniti akhirnya mampu dicapai.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran tetapi usaha untuk terus berkhidmat dalam bidang keusahawanan menjadi dorongan untuk terus melakar kemajuan.
"Pada hari ini, saya dipenuhi rasa bangga dan bersyukur. Anugerah ini adalah bukti bukan sahaja kepada perjalanan hidup saya tetapi juga perjalanan KK Super Mart dan semua individu yang telah menjadi sebahagian daripadanya.
"Saya dengan amat rendah hati menerima penghormatan ini, dan ia menguatkan lagi semangat saya untuk terus berkhidmat kepada komuniti serta memajukan Kumpulan Syarikat KK ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, menurut Chai, mereka kini sedang meneroka pasaran baharu selain meningkatkan kecekapan operasi supaya perniagaan tersebut terus berkembang.
Tambah beliau, KK Super Mart akan terus meletakkan tanda aras baharu dalam industri runcit bagi mengukuhkan reputasinya sebagai jenama yang dipercayai rakyat.
"Kejayaan mentransformasikan perniagaan kedai kecil sehingga berjaya menubuhkan 903 cawangan di seluruh Malaysia dalam memastikan kecemerlangan industri runcit merupakan satu pencapaian terbaik.
"Usaha ini akan mengiktiraf jenama KK Mart sebagai jenama terkemuka di peringkat global,” katanya.