IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung video tular mendakwa sebuah restoran nasi kandar popular di sini membasuh peralatan memasak di atas jalan berhampiran longkang.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, meskipun tiada aduan rasmi diterima, namun pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana melibatkan isu kebersihan dan kesihatan.
"Saya sudah arahkan pegawai kesihatan supaya memantau kejadian itu. Maklumat yang kita perolehi hanya melalui hantaran di Facebook.
"Walaupun tidak secara rasmi, tetapi saya percaya (video tular itu) ada kebenarannya kerana apabila pemantauan dilakukan pada waktu malam, premis sudah ditutup, tiada aktiviti cuci dilakukan," katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Deepavali peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diberikan, penduduk di kawasan premis itu kurang senang dengan aktiviti pembersihan yang dijalankan pekerja pada waktu malam kerana menimbulkan bunyi bising.
Katanya, premis terbabit beroperasi sehingga jam 12 malam sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga jam 1 pagi.
"Siasatan nanti turut mengambil kira kenyataan daripada penghuni rumah berdekatan sebelum satu tindakan diambil terhadap pihak restoran," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 17 saat memaparkan seorang pekerja membasuh peralatan memasak di atas jalan di belakang premis.
Klip video terbabit menarik perhatian meluas warganet yang bimbang terhadap tahap kebersihan makanan dan mendesak tindakan tegas diambil pihak berkuasa.
Selain pengabaian aspek kebersihan, pengguna yang membuat hantaran itu juga mendakwa aktiviti pembersihan restoran terbabit mengakibatkan kacau-ganggu kepada penduduk perumahan berhampiran.