MARAN - Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) Pahang meminta kerajaan untuk mempertimbangkan Kadar Bantuan Sara Hidup bagi veteran yang terlantar dan memiliki penyakit kronik sebanyak RM750 sebulan.
Yang Dipertua PKVTTB Pahang, Mohd Sani Ishak berkata, setakat ini jumlah yang diterima golongan itu yang memohon dan mendaftar sama seperti yang lain iaitu RM300 sebulan.
"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan jumlah bantuan ini sebanyak RM500 sebulan berbanding RM300 sebelum ini.
"Namun kita berharap kerajaan untuk mempertimbangkan kadar RM750 sebulan untuk veteran tidak berpencen yang terlantar dan memiliki penyakit kronik.
"Ia bukan jumlah yang besar kerana kalau di Pahang jumlahnya tidak seramai mana dan ia tidak membebankan kerajaan," katanya.
Beliau ditemui sempena Mesyuarat Agung PKVTTB Pahang kali ke-12 di Arena Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Muda Pahang di sini pada Ahad.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.
Sebelum ini pada 18 Oktober lalu menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan bersetuju supaya kadar bantuan itu berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan ketimbang RM300 pada masa ini.
Sementara itu, Semaon ketika ditanya mengenai Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara, JHEV tidak ketinggalan dan menyediakan bantuan bencana alam kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
"Untuk tahun ini kita telah bersiap sedia membantu veteran yang menjadi mangsa dan sentiasa berhubung dengan semua negeri yang terjejas untuk diberikan sedikit sumbangan.
"Insya-ALLAH setakat ini kita tidak pernah gagal menyantuni mereka yang terjejas," jelas beliau.
Berdasarkan data terkini, setakat ini terdapat 28,992 orang membabitkan veteran berpencen dan tidak berpencen di Pahang.