GEORGE TOWN - Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM65,428 di sekitar bandar ini dan Seberang Perai Utara (SPU) pada jam 12.15 tengah malam, 16 November lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 itu kini direman tujuh hari sehingga 22 November ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kedua-dua ahli sindiket pengedaran dadah itu ditahan oleh pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut yang telah menjalankan serbuan di dua lokasi berbeza di negeri ini.
"Polis telah menyerbu sebuah rumah di sini lalu menahan seorang lelaki dan merampas 22 ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja, anggaran berat 21,041 gram yang bernilai RM65,428.
"Susulan tangkapan dan rampasan itu, kita membuat serbuan susulan di kawasan SPU lalu menahan seorang lagi suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak awal Oktober lalu.
"Kesemua dadah itu untuk pasaran tempatan. Jika ia terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 42,212 penagih," katanya.
Abdul Rozak berkata, kedua-dua suspek tidak bekerja dan ujian saringan air kencing mereka mendapati positif methaphetamine serta amphetamine.
"Suspek pertama mempunyai enam rekod lampau dadah dan jenayah manakala suspek kedua mempunyai 18 rekod dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.