KUALA TERENGGANU - Sebanyak 34,540 sesi rawatan telah diberikan kepada pesakit yang berdepan masalah berkaitan mental di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2023.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sesi rawatan itu meningkat dalam tempoh lima tahun sejak 2018.
"Data itu merupakan sesi diberikan kepada mereka yang hadir untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental di hospital dan klinik kesihatan sepanjang tahun 2023. Jumlah sesi tersebut termasuk merekodkan kehadiran pesakit ulangan yang mendapatkan rawatan.
"Jumlah sesi sebanyak 34,540 pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan berbanding 31,617 sesi yang direkodkan pada tahun 2022.
"Sepanjang Januari sehingga September tahun ini pula, terdapat 28,014 sesi diberikan kepada individu yang hadir bagi mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.
Beliau menjawab soalan lisan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) mengenai jumlah pesakit mental yang berdaftar antara 2018 hingga 2023.
Ketika menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) mengenai jenis penyakit dan rawatan diterima, Wan Sukairi berkata, analisa jenis penyakit mental yang dirawat di klinik pakar psikiatri dan klinik kesihatan pada tahun 2023 sehingga Jun lepas menunjukkan 33 peratus kes adalah kemurungan.
Selain itu katanya, ia diikuti kes keresahan (anxiety) melibatkan 16 peratus manakala corak yang sama ditunjukkan pada lima tahun kebelakangan ini.
"Di mana kes-kes kemurungan (pelbagai kategori) dan keresahan merupakan diagnosis utama kes-kes baharu.
"Penyakit psikiatri major seperti schizophernia dan bipolar pula peningkatan agak sekata dengan insiden kes baharu antara tujuh hingga 10 peratus. Kes psikiatri major merupakan penyumbang utama kepada kemasukan wad-wad psikiatri," ujarnya.
Sementara itu, berhubung jumlah pusat kesihatan bagi rawatan mental di negeri ini, Wan Sukairi menyatakan semua hospital dan klinik kesihatan di Terengganu menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit mental.
Katanya, rawatan itu termasuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dilengkapi tenaga pakar psikiatri am dan beberapa bidang sub kepakaran psikiatri iaitu neuropsikiatri, psikogeriatrik, psikiatri pemulihan serta komuniti.
"Hospital lain yang turut menawarkan perkhidmatan rawatan sakit mental iaitu Hospital Dungun; Hospital Kemaman; Hospital Besut dan Hulu Terengganu yang juga mempunyai pakar psikiatri.
"Hospital Setiu pula dilawati oleh pakar dari Hospital Besut setiap dua minggu sekali...selain itu kesemua 52 klinik kesihatan di seluruh negeri menyediakan perkhidmatan rawatan sakit mental termasuk khidmat sokongan awal dan rujukan.
"Kebanyakan klinik kesihatan di negeri ini juga dilengkapi dengan pakar perubatan kesihatan keluarga yang membolehkan kes mental di diagnosis dan dirawat dengan lebih baik di peringkat klinik kesihatan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, perkhidmatan Perawatan Psikiatri Komuniti (Community Psychiatry Unit) dari hospital turut memberikan perkhidmatan lawatan ke rumah pesakit-pesakit terpilih yang memenuhi kriteria.