SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2025 pada Jumaat lalu menampilkan usaha kerajaan negeri Selangor ke arah pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz bagaimanapun berkata, untuk memastikan ia benar-benar memberi manfaat besar kepada rakyat, terdapat beberapa sudut yang dirasakan perlu ditambah baik agar belanjawan ini selaras dengan keperluan mendesak dan cabaran semasa masyarakat.
Menurutnya, keutamaan belanjawan dalam menangani isu kritikal seperti mitigasi bencana alam masih kelihatan kabur.
"Perubahan iklim yang semakin meruncing dengan taburan hujan ekstrem dan ancaman banjir kilat, menuntut pelaburan segera dalam langkah pencegahan yang berkesan.
"Musibah banjir pada 2021 telah menyebabkan kerugian melebihi RM1 bilion bagi membantu mangsa terjejas, dan tambahan RM400 juta untuk membaik pulih infrastruktur.
"Kos yang besar ini sepatutnya menjadi penggerak utama bagi kerajaan untuk mengambil langkah drastik dalam memastikan perkara ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, beliau berkata, penambahbaikan infrastruktur asas seperti sistem saliran, jalan raya, dan bekalan air perlu menjadi agenda teras, terutama di kawasan berisiko tinggi.
Tegasnya, tanpa tindakan tegas, kesejahteraan rakyat akan terus terjejas, dan cabaran ini akan menjadi lebih parah dengan perubahan cuaca yang tidak menentu.
"Dalam konteks pembangunan wilayah, kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Hulu Selangor, dan Hulu Langat masih jauh ketinggalan berbanding kawasan dan daerah maju.
"Jurang akses kepada infrastruktur moden, kemudahan pendidikan, dan kesihatan di kawasan ini menggambarkan perlunya pendekatan yang lebih strategik untuk memastikan pembangunan yang adil," ujarnya.
Sehubungan itu juga katanya, antara langkah yang dirasakan wajar dipertimbangkan ialah pemberian insentif kepada syarikat untuk melabur di kawasan ini, selain melaksanakan projek perintis yang menghasilkan impak positif dalam jangka masa sederhana.
Ujarnya, prinsip keadilan sosial yang diketengahkan dalam belanjawan ini juga perlu diterjemahkan dengan lebih terperinci melalui pelan pelaksanaan yang menyeluruh.
"Jurang ekonomi dan sosial hanya boleh dirapatkan melalui langkah khusus seperti program latihan kemahiran, mikro kredit, dan insentif keusahawanan yang disasarkan kepada golongan B40," ujarnya.
Selain itu, beliau menambah, laporan berkala untuk menilai keberkesanan dasar ini dan dialog berterusan bersama masyarakat amat penting bagi memastikan dasar-dasar ini benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Ujarnya lagi, belanjawan yang adil dan telus memerlukan lebih daripada sekadar angka dan visi; ia memerlukan tindakan konkrit dan pelaksanaan yang dapat diukur.
"Dalam menghadapi cabaran ekonomi, perubahan iklim dan ketidakseimbangan pembangunan, kerajaan negeri perlu memastikan setiap perbelanjaan bukan sahaja memberi manfaat tetapi juga membawa perubahan yang mampan.
"Dengan komitmen yang kukuh, strategi yang jelas, dan pelaksanaan yang telus, Belanjawan Negeri Selangor 2025 diharapkan benar-benar menjadi pemangkin kepada Selangor yang lebih maju, makmur, dan inklusif untuk semua," ujarnya.