KUALA LUMPUR - Jumlah ahli atau pakar terapi autisme yang berdaftar di negara ini masih rendah, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan pada Isnin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hingga kini sebanyak 498 ahli terapi pertuturan dan bahasa serta 2,473 ahli terapi cara kerja sudah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, usaha meningkatkan bilangan profesion terapi autisme memerlukan pengembangan ekosistem secara holistik melibatkan kerjasama kerajaan dan pihak lain.
"Pembangunan ekosistem yang lebih besar perlu dilaksanakan segera. Selain itu, kementerian juga sedang membangunkan modul asuhan dan penjagaan kanak-kanak autisme yang akan dilancarkan pada sambutan Hari Kanak-Kanak nanti.
Terdahulu, Nancy menjelaskan nisbah antara bilangan Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi kerajaan yang lain tidak mencukupi.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian melaksanakan langkah bagi mengurangkan jurang itu menerusi program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan 573 premis PDK sedang beroperasi di seluruh negara.
"Hingga September lepas, sebanyak 19,907 OKU sedang menerima perkhidmatan PDK di seluruh negara dan kerajaan menyalurkan bantuan untuk meringankan beban kos pengoperasian PDK termasuk bayaran elaun pelatih OKU PDK sebanyak RM300 sebulan.
"Pada 2024 sahaja, hingga September, sebanyak RM137.4 juta bantuan kewangan telah disalurkan demi manfaat kesemua PDK di seluruh negara,” katanya menjawab soalan asal Dr Alias mengenai usaha menambah bilangan pusat autisme serta bantuan atau insentif kepada pengusaha pusat swasta. - Bernama