KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang menyewakan atau menjual lesen perniagaan kepada warga asing.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, S Thiban berkata, perkara itu jika tidak dibendung dikhuatiri menyebabkan aktiviti 'Ali Baba' semakin berleluasa.
Menurutnya, hasil maklumat mendapati terdapat beberapa kes di mana warga asing berkahwin dengan wanita tempatan semata-mata untuk mendapatkan lesen perniagaan.
"Kalau kita tengok kedai perabot dan kedai runcit di sini kebanyakannya dikuasai warga asing yang menggunakan nama wanita tempatan," katanya ketika diminta mengulas mengenai rakaman video tular beberapa warga asing berniaga di pasar malam sekitar daerah ini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menghantar satu surat kepada MPKS bagi mengadakan operasi secara bersepadu dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Beliau memberitahu, operasi itu tidak hanya tertumpu di kawasan pasar malam semata-mata, sebaliknya ia membabitkan semua premis yang menggunakan lesen warga tempatan bagi menjalankan perniagaan.
"Kita mahu memastikan lesen perniagaan ini dikendalikan sendiri warga tempatan dan bukannya disewa atau dijual kepada warga asing.
"Perkara ini seharusnya diteliti dan penguatkuasaan berterusan dapat dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi aktiviti Ali Baba," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, beliau turut berharap kerajaan melaksanakan segera undang-undang 'anti-Ali Baba' bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang menyewa atau menjual lesen perniagaan kepada pekerja asing.
"Tindakan tegas mesti diambil bagi menghapuskan amalan Ali Baba sekali gus melumpuhkan perniagaan warga asing tanpa kebenaran," katanya,
Terdahulu, tular video di aplikasi X mengenai tindakan peniaga warga asing berniaga di pasar malam di sekitar daerah terbabit.
Pemilik akaun mendakwa, kebanjiran warga asing di daerah itu perlu dibanteras kerana mereka kini bukan sahaja masuk ke negara untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), sebaliknya menjalankan perniagaan.