BANK Rakyat giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat sempena Bulan Literasi Kewangan 2024 (FLM 2024).
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, antara inisiatif yang dijalankan adalah menyediakan fasiliti bank bergerak yang dinaik taraf dengan perkhidmatan pajak gadai Islam dan sesi perkongsian mengenai literasi kewangan dalam gaya hidup, celik kewangan, jenayah siber, digital selain aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna, menulis serta video pendek.
Menurutnya, Bank Rakyat turut menyediakan satu Pelan Takaful yang cukup komprehensif dan murah dengan bayaran serendah 14 sen sehari sejajar dengan usaha kerajaan untuk rakyat mendapatkan pelan insurans atau takaful bagi perlindungan.
"Di samping itu, Bank Rakyat menyampaikan sumbangan berjumlah RM408,050 untuk membantu 2,208 pelajar asnaf daripada 25 buah sekolah di Kota Bharu.
"Sempena FLM 2024 dan Hari Tabungan Sedunia, Bank Rakyat juga melancarkan program Nuri Pecah Tabung yang menyasarkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12tahun.
"Inisiatif ini yang bermula pada September lalu hingga 24 November 2024 berlangsung di 14 buah sekolah di seluruh negara yang mana peserta digalakkan untuk membawa tabung mereka," katanya pada Isnin.
FLM 2024 yang bertemakan ‘Bijak Wang, Hidup Sejahtera’ itu merupakan program tahunan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan
Tambah kenyataan itu, seramai 12,000 kanak-kanak yang dijangka mengambil bahagian berpeluang merebut hadiah terkumpul sebanyak RM28,000 untuk dinobatkan sebagai 20 ‘Penabung Terbaik’ di setiap lokasi.
Jelasnya, antara sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning, Shah Alam; Sekolah Sri Seremban, Negeri Sembilan; SK Matang Jaya, Kuching dan SK Padang Kota, Kangar.
"Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar mengenai konsep kewangan asas, membina tabiat kewangan yang baik dan mempersiapkan mereka untuk membuat keputusan kewangan pada masa hadapan, di samping menggalakkan kebebasan kewangan.
"Selain itu, pada 24 Oktober 2024, Bank Rakyat turut mengadakan Hari Deposit secara serentak di semua cawangan, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai produk dan akaun deposit.
"Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan promosi dan tawaran eksklusif tetapi juga menyediakan sesi literasi kewangan interaktif,” ujarnya.