BERTEPATAN dengan sejarah yang tercipta, Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul Sejarah.
Lebih istimewa, lagu Sejarah merupakan ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.
Menurut Biduanita berusia 45 tahun itu, Sejarah merupakan buah tangan istimewanya sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.
Siti juga menyifatkan Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau dapat kembali berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu.
Malah beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.
"Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti yang turut berterima kasih kepada Aubrey Suwito kerana membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.
Besar harapan Siti agar single terbaharu ini akan mendapat tempat di hati peminat. Single terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd itu boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital bermula 14 November.
Sementara itu, berkongsi mengenai penghasilan lagu Sejarah, Erwin berkata, lagu itu sememangnya diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.
"Saya meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan," katanya yang turut menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra bagi mengiringi susunan muzik.