Op Samseng Jalanan: 107 motosikal ditahan, 19 lagi disita

Iklan
Pihak polis melakukan pemeriksaan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Batu 14 Puchong, Selangor pada Ahad. - Foto: PDRM

SUBANG JAYA - Aksi merbahaya sekumpulan besar penunggang motosikal merempit di Plaza Tol Batu 14 Puchong, di sini berakhir dengan diberkas pihak polis pada Ahad.

Sebanyak 107 buah motosikal ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan kerana melakukan kesalahan lalu lintas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam itu membabitkan dua pegawai dan 19 anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Sebahagian motosikal yang ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Batu 14 Puchong, Selangor dibawa ke IPD Subang Jaya pada Ahad.Foto: PDRM

Beliau berkata, operasi dijalankan di lokasi terbabit kerana kawasan itu sering menjadi tumpuan penunggang motosikal melakukan aksi merbahaya seperti memandu laju, melakukan aksi 'zip zap' serta menundukkan badan.

Iklan

Jelasnya, aksi seumpama itu bukan sahaja boleh membahayakan nyawa penunggang terbabit, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Dalam operasi ini, pihak polis menahan 107 motosikal dan memeriksa seramai 150 orang penunggang serta pembonceng.

Sebahagian penunggang yang ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Batu 14 Puchong, Selangor diarah membawa motosikal masing-masing ke IPD Subang Jaya pada Ahad.Foto: PDRM

Iklan

"Sebanyak 19 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan utama iaitu memandu secara merbahaya dan laju sambil menundukkan badan bagi melakukan aksi superman," katanya pada Isnin.

Menurutnya, pihak polis akan terus melaksanakan operasi dari masa ke masa bagi membanteras samseng jalanan.

Sehubungan itu katanya, BSPT IPD Subang Jaya menasihati ibu bapa supaya memantau setiap pergerakan anak-anak di waktu malam.