Pelapor kegiatan vandalisme utiliti di Sarawak mungkin diberi ganjaran

Iklan
Julaihi (kiri) pada sidang media selepas sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin. Foto Benama

KUCHING - Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak tidak menolak kemungkinan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang melaporkan kejadian vandalisme hingga membawa kepada penangkapan pelakunya.

Menterinya, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, penawaran ganjaran ini boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan Sarawak merasakan ia dapat mengurangkan insiden merosakkan harta benda awam melibatkan aset utiliti dan telekomunikasi di negeri itu.

Iklan
Iklan

"Kita sedang mengkaji secara menyeluruh bagi memberi kesedaran kepada generasi hari ini kerana ia menyusahkan pihak awam apabila berlaku kerosakan yang disebabkan oleh vandalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan penggulungan bagi kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Isnin.

Iklan

Semasa pembentangan itu, beliau berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini sebanyak 1,655 kes vandalisme melibatkan kerosakan kemudahan infrastruktur utiliti dicatatkan dengan anggaran kerugian RM5.4 juta.

Julaihi berkata, bagi menangani masalah vandalisme tersebut, kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Anti-Vandalisme melibatkan agensi utiliti dan telekomunikasi dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa negeri dan Persekutuan bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berkaitan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya juga sedang mengkaji untuk meminda Ordinan Air 1994 Sarawak bertujuan untuk meningkatkan jumlah penalti terhadap pihak ketiga yang menyebabkan kerosakan ke atas aset bekalan air.

Beliau berkata, penalti hingga RM5,000 yang diperuntukkan di bawah ordinan berkenaan sekarang dianggap terlalu rendah berbanding RM50,000 yang dikenakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan di negeri lain.

"Kita sedang mengkaji Ordinan Air 1994 secara menyeluruh termasuk penalti yang perlu dikenakan sebagai langkah pencegahan supaya kerosakan sama ada disebabkan sengaja atau tidak sengaja tidak berlaku di masa yang akan datang,” katanya.

Selain badan bekalan air, beliau menambah agensi bekalan elektrik dan telekomunikasi di Sarawak juga diminta mengkaji undang-undang melibatkan aset perkhidmatan bekalan masing-masing bagi melihat keperluan untuk meningkatkan jumlah penalti yang diperuntukkan. - Bernama