DUBAI - Kedudukan Dubai yang terletak secara strategik di pasaran prospektif rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) menjadikan ia lokasi terbaik penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, MENA terdiri daripada 21 negara dengan populasi 500 juta orang dan gabungan KDNK melebihi AS$4 trilion.
"Dubai berada di tengah-tengah rantau ini dengan sambungan yang kukuh, hanya satu penerbangan dari hampir setiap bandar utama di dunia.
"Dubai seperti yang kita ketahui, menganjurkan banyak pameran antarabangsa utama sepanjang tahun seperti Gulfood, Ekspo Dunia, Kesihatan Arab dan banyak lagi," katanya dalam ucapan aluannya semasa pelancaran MIHAS@Dubai 2024, pada Isnin.
Katanya lagi, MIHAS@Dubai 2024 akan menyerlahkan kepimpinan dan kepakaran Malaysia dalam industri halal kepada pelabur global.
Reezal Merican menambah, dengan membawa acara ikonik ini ke Dubai, MATRADE sedang memperluaskan capaian dan mencipta peluang rangkaian serta kerjasama yang baru.
"Hari ini merupakan satu pencapaian bersejarah, menandakan acara MIHAS diadakan buat pertama kalinya di luar sempadan Malaysia. Ini adalah satu detik perintis buat kita semua.
"Keputusan untuk menganjurkan MIHAS di luar Malaysia untuk pertama kalinya ini amat bermakna kerana ia mencerminkan komitmen kita untuk memperluaskan pengaruh Malaysia dalam industri halal di peringkat global.
"Ini juga menggambarkan cita-cita kita untuk mempamerkan industri halal Malaysia kepada dunia,” katanya.
MIHAS@Dubai 2024 telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Reezal Merican menambah, MATRADE optimis bahawa kejayaan MIHAS@Dubai akan menjadi batu loncatan bagi peluang-peluang perniagaan lanjut dengan rakan sejawat di rantau ini, terutamanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Kami berhasrat untuk terus meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab halal global dan membina jambatan yang menggalakkan pertumbuhan bersama, kelestarian, dan kemakmuran untuk industri kami yang sedang berkembang,” katanya.
Ujarnya, selama lebih 20 tahun, MIHAS telah menjadi tonggak dalam memajukan industri halal Malaysia di peringkat domestik, dan kini apabila ia melangkah ke pentas global, pameran ini sedang membina asas untuk pencapaian yang lebih besar dan kehadiran yang lebih kukuh bagi MIHAS di seluruh dunia.
"Saya juga ingin mengucapkan penghargaan yang tulus kepada 120 pembeli antarabangsa dan premium dari 20 negara, serta syarikat-syarikat Malaysia, kementerian-kementerian kerajaan, dan agensi-agensi yang telah memberikan sokongan padu terhadap pameran MIHAS@Dubai 2024 yang pertama ini.
"Semasa kita melihat ke masa depan, marilah kita terus bekerjasama, berinovasi, dan membina kerjasama yang akan memajukan industri halal, bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk komuniti global,” katanya lagi.