Kerajaan perlu pertimbang wujud jawatankuasa pantau haiwan dianiaya

Iklan
Ismail Sabri pada sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat.

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khusus bagi memantau penganiayaan haiwan atau menyerahkan kepada pihak berkuasa lain sekiranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tiada kemampuan menuntut keadilan terhadap haiwan terbiar.

Ahli Parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, walaupun haiwan-haiwan itu berkeliaran kerana tidak mempunyai tempat tinggal, menyelongkar tong sampah disebabkan kelaparan, namun ia tetap menjadi tanggungjawab semua menjaga kebajikan binatang berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengikut data DVS, lebih 7,600 aduan penderaan haiwan diterima sejak 2021 sehingga hari ini.

"Kes di Selangor sahaja sudah mencecah 3,334. Walhal di bawah Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015, pelaku yang memukul, menendang, menganiaya, menyeksa, menimbulkan kemarahan atau menakutkan mana-mana haiwan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan yang pertama.

Iklan

"Saya juga ingin tahu adakah Jabatan Veterinar yang menguatkuasakan akta ini mampu menghalang kekejaman atau pembunuhan haiwan-haiwan ini?

"Satu lagi persoalan, berapa ramai dari DVS yang dilantik untuk menguatkuasakan akta ini dari segi mengambil tindakan dan pemantauan," katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat.

Iklan

Ismail Sabri turut mencadangkan penambahbaikan undang-undang sedia ada seperti meneliti semula atau pinda Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Ujarnya, perkara kedua adalah semua Majlis Daerah (MD) tidak harus menembak mengikut undang-undang kecil kerana Akta Kebajikan Haiwan telah mengikat mereka.

"Ketiga, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan tempat tinggal bagi haiwan-haiwan terbiar ini dan berharap pihak Majlis Daerah bekerjasama dengan mereka bagi menjaga serta menyediakan tempat perlindungan haiwan ini.

"Jika perlu, saya berharap kerajaan dapat meminda akta ini. Diharapkan pihak majlis tidak menembak haiwan sesuka hati tanpa sebab munasabah yang dibenarkan oleh Jabatan Veterinar,"jelasnya.

Sementara itu, beliau turut bertanya mengenai status penjelasan laporan perkembangan ladang tenusu melalui usaha sama di antara syarikat pembekalan makanan dan produk tenusu dari Qatar iaitu Kumpulan Baladna Food Industries (Baladna) dengan FGV Holdings Bhd dan Felcra Berhad (Felcra) pada tahun 2022 berjumlah RM4.2 bilion.

Ujarnya, kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra membabitkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.

"Baladna melabur sebanyak RM2.1 bilion lagi bagi pembangunan projek tenusu di Pahang. Apakah definisi susu di dalam akta yang terkini?

"Ini kerana susu tepung yang dicairkan juga dianggap susu. Jika benar, ia perlu dipinda kerana syarikat yang berminat untuk mengeksport susu ke negara ini hanya mahu definisi susu segar sahaja," katanya.