Malaysia negara tertinggi di Asia rekodkan mangsa scam berulang

Iklan
Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia yang merekodkan jumlah mangsa berulang berkaitan jenayah penipuan dalam talian (scam) dengan lebih 2.5 kali jenayah itu berlaku terhadap mangsa yang sama. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia yang merekodkan jumlah mangsa berulang berkaitan jenayah penipuan dalam talian (scam) dengan lebih 2.5 kali jenayah itu berlaku terhadap mangsa yang sama.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, menurut kajian Asia Scam Report 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance, ia diikuti dengan negara Hong Kong dan Thailand.

Iklan
Iklan

"Terdapat dua perkara yang merisaukan iaitu individu berulang kali menjadi mangsa scam dan mempunyai kemampuan rendah untuk membezakan jenayah berkaitan penipuan membabitkan Kecerdasan Buatan.

"Mangsa tidak belajar daripada kesilapan lampau. Ia amat merisaukan apabila mereka menjadi mangsa semula kerana tidak mempunyai kebolehan membezakan sumber...apabila mereka dihubungi pihak berkuasa, mereka tidak dapat membezakan sama ada pihak yang menghubungi itu palsu atau benar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Anti Scam ‘It’s a matter of when’ di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, yang dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada petugas agensi di bawah Kementerian Komunikasi, antaranya Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Komuniti Madani.

Beliau berkata, dengan kursus dan libat urus seperti hari ini, peserta dapat berkongsi maklumat dan memberikan advokasi berkaitan jenayah itu kepada masyarakat setempat dengan lebih jelas dan mudah difahami.

Iklan

"Kita perlu tahu bahawa mangsa scam ini tidak mendapatkan sistem sokongan yang mencukupi oleh orang di sekeliling. Mereka berasa takut, malu dan tidak tahu untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada peserta yang juga petugas Bernama, Abdul Wahid Abdul Mutallib berkata, program sebegini perlu diperluaskan lagi, khususnya kepada masyarakat pada masa hadapan memandangkan pelbagai maklumat dan ilmu baharu diperolehi.

"Program sebegini amat baik kerana memberi kesedaran kepada orang ramai, lebih-lebih lagi memandangkan kita di zaman AI. Banyak ilmu baharu yang saya peroleh sepanjang program ini. Semoga ia turut dibuka penyertaannya kepada orang awam,” katanya.

Turut senada, peserta daripada Komuniti Madani, Mohd Salehuddin Mohd Kidin, yang mahukan program melibatkan kesedaran jenayah penipuan dalam talian ini diperbanyakkan dan dianjurkan bermula di peringkat akar umbi.

"Melalui kursus seperti ini, peserta diberi pendedahan tentang cara bagaimana untuk memastikan segala maklumat tepat sebelum membuat apa-apa transaksi lebih-lebih lagi urusan dalam talian,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan jenayah penipuan atas talian merupakan antara fokus utama kerajaan dalam memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Untuk itu kerajaan berpendirian akan mengguna pakai kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Januari depan. - Bernama