GOMBAK - Sudah menjadi Impian setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka membesar dan berjaya dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam bidang akademik.
Malah menyaksikan anak untuk menggenggam segulung ijazah dan meraikan hari kejayaan mereka bersama keluarga juga salah satu impian ibu bapa.
Namun semua itu hanyalah impian semata bagi Amran Othman dari Seremban yang hadir mewakili anaknya Nurul Aqilah Amran yang meninggal dunia akibat barah payudara pada 24 April lalu.
Allahyarhamah Nurul Aqilah merupakan graduan Sarjana dalam bidang Farmasi.
Skrol disampaikan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Samsudin Osman pada sidang Konvokesyen UIAM di Gombak.
Allahyarhamah merupakan anak keempat dari lima orang adik beradik dan merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga.
Ketika ditemui Amran kelihatan sedih dan pilu apabila menceritakan berkenaan keperibadian dan impian arwah anaknya.
"Beliau seorang yang periang dan suka belajar, bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah. Arwah juga bercadang untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang farmasi,” katanya pada Isnin.
Difahamkan arwah ketika hayatnya seorang periang dalam masa yang sama juga menggalas tanggungjawab sebagai ibu apabila ibu beliau meninggal dunia pada 2013.
"Apabila ibunya meninggal, arwah menggantikan tempat ibunya kerana beliau satu-satunya anak perempuan tunggal dan menjadi tempat bermanja buat adiknya, tapi sekarang apabila arwah sudah tiada, adiknya sangat sedih kerana tiada tempat untuk mengadu dan bermanja,”ujarnya.
Bercerita perihal tahap kesihatan arwah anaknya, kanser payudara dikesan masih di peringkat awal dan dapat melengkapkan rawatan kimoterapi dan radioterapi serta telah membuat pembedahan membuang sebelah payudara.
"Alhamdulillah pada peringkat awal sel-sel kanser dapat dimatikan dan dibuang, namun akibat daripada kesan-kesan tersebut beliau sesak nafas dan dimasukkan ke hospital hampir sebulan tahap kesihatannya makin merosot akibat kegagalan organnya berfungsi.
"Ia satu kehilangan yang amat besar buat kami sekeluarga lebih-lebih lagi adiknya, Arwah juga boleh dianggap seorang yang kuat semangat untuk mencapai cita-cita walaupun dalam masa yang sama beliau berjuang melawan kesakitan,” katanya.
Amran juga turut berterima kasih kepada para pensyarah dan rakan-rakan arwah kerana banyak membantu dan memberikan sokongan kepada anaknya.
Allahyarhamah Nurul Aqilah antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana sepanjang Majlis Konvokesyen UIAM ke-40 yang berlangsung selama lima hari bermula 16 hingga 20 November 2024.