LAHAD DATU - Dua kakitangan Sabah Electricity diancam ketika sedang bertugas sehingga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda mereka naiki terbabas lalu terjunam ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam di sini pada Isnin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sabah Electricity, kedua-dua kakitangannya itu sedang melakukan operasi memotong bekalan elektrik di sebuah rumah yang mempunyai tunggakan bil elektrik di Kampung Sepagaya.
"Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi, ketika itu kakitangan Sabah Electricity memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk memeriksa senarai arahan pemotongan bekalan elektrik yang seterusnya.
"Namun mereka dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Vogo berwarna hitam dan seorang lelaki dalam keadaan marah cuba membuka kenderaan dinaiki kakitangan secara paksa," katanya.
Kenyataan itu berkata, kakitangannya mulai panik lalu beredar meninggalkan lokasi tersebut.
"Bagaimanapun, mereka telah dikejar oleh kenderaan tersebut sehingga menyebabkan situasi tidak terkawal dan akhirnya pacuan empat roda mereka naiki terbabas lalu masuk ke kawasan kebun kelapa sawit.
"Salah seorang kakitangan mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala rakannya terseliuh di bahagian kaki kiri," katanya.
Susulan kejadian itu, Sabah Electricity telah membuat laporan polis kerana berlaku provokasi dan gangguan terhadap kakitangannya yang sedang menjalankan tugas.
"Sabah Electricity tidak akan bertolak ansur terhadap apa juga ancaman yang membabitkan keselamatan kakitangannya dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu serta menghalang kakitangan Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas," katanya.