SHAH ALAM - Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) Malaysia mengerahkan Pasukan Penilaian Pantas (RRT) pertama ke Filipina untuk bertindak segera membantu penduduk di negara tersebut.
MERCY Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu diberi selepas kebanyakan kawasan Filipina musnah selepas dilanda taufan yang kuat.
Menurutnya, pasukan itu berperanan untuk menilai keperluan dan menyediakan peta jalan sebagai persediaan untuk fasa pemulihan dan pembangunan.
"Lima taufan tropika yang melanda Filipina dalam masa sebulan menjejaskan hampir sembilan juta individu atau 2.4 juta keluarga di negara tersebut.
"Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) melaporkan lebih 617,000 orang terjejas termasuk 160,000 individu yang berlindung di 590 pusat pemindahan," katanya pada Isnin.
Tambah MERCY Malaysia, lebih 207,000 rumah terjejas di 17 daripada 18 wilayah dengan kerosakan infrastruktur menelan belanja kira-kira AS$179 juta.
"Manakala sektor pertanian mengalami kerugian berjumlah AS$119 juta yang memberi kesan kepada lebih 34,000 petani dan nelayan.
"Keadaan mungkin bertambah buruk dengan ketibaan taufan besar Man-yi yang berpotensi menjadi ribut besar keenam dalam tempoh empat minggu," jelasnya
Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pihaknya sedang menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan negara berkenaan untuk memastikan tindak balas yang cekap dan berkesan.
Jelasnya, kekerapan taufan itu menyerlahkan keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim dan memperkukuh daya tahan bencana.
"Hati kami bersama rakyat Filipina ketika mereka menghadapi kesan dahsyat daripada ribut yang berlaku secara berturut-turut.
"MERCY Malaysia komited untuk menyokong bukan sahaja dari segi bantuan kecemasan tetapi juga usaha pemulihan jangka panjang terutama persediaan mereka sekiranya berlaku bencana pada masa hadapan.
"Dengan kerjasama daripada pelbagai organisasi, MERCY Malaysia berhasrat dapat memberi bantuan yang lebih mampan, berkesan dan baik bukan sahaja kepada Filipina tetapi seluruh dunia," ulasnya.