Perkasa TVET, Sri Ganes terima Anugerah Tokoh Mahir 2024

Iklan
Fadillah (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Sri Ganes pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.

SHAH ALAM - Perintis program kenderaan elektrik (EV) dan dron di Malaysia, Datuk P Sri Ganes menerima Anugerah Tokoh Mahir 2024 atas usahanya memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negara ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf individu serta organisasi bertindak memainkan peranan penting dalam memartabatkan latihan kemahiran dan sebagai teladan dalam industri tersebut.

Iklan
Iklan

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Sri Ganes sebagai menghargai sumbangan beliau selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group dalam memperkasakan serta memasyarakatkan TVET di negara ini.

Iklan

Sri Ganes melalui institusi latihan yang diusahakan telah menawarkan program latihan inovatif dan relevan, seiring keperluan semasa termasuk dalam bidang teknologi baharu muncul, EV, dron serta kecerdasan buatan (AI).

"Ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha saya sejak 1999 untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dan berupaya menjana pendapatan tinggi di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Sri Ganes juga menerajui pelbagai inovasi pendidikan termasuk konsep 'Belajar Sekarang, Bayar Kemudian' yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengakses latihan kemahiran tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

Menerusi langkah itu, katanya, ia bertujuan membuka pintu kepada lebih ramai individu untuk mengejar impian tanpa berhadapan dengan kekangan kewangan.

Fadillah (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Sri Ganes pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.

"Institusi latihan yang saya asaskan ini menawarkan pelbagai program relevan termasuk bidang teknologi baharu seperti kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan yang bertujuan membekalkan tenaga mahir sejajar dengan keperluan semasa industri," ujarnya.

Dalam pada itu, Sri Ganes turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memantapkan TVET.

Jelasnya, sokongan berterusan daripada kerajaan serta sektor industri merupakan kunci kepada kejayaan program TVET yang fleksibel dan berkesan.

"Peluang latihan praktikal, pendedahan teknologi terkini serta akses global perlu ditingkatkan bagi memastikan graduan kita bersedia menghadapi cabaran," ujarnya.

Menyedari keperluan untuk sentiasa relevan dalam dunia teknologi yang pesat berubah, Sri Ganes menjadi pelopor dengan memperkenalkan program kemahiran dron pertama di Malaysia pada 2016.

Program ini diakreditasi Jabatan Kemahiran pada 2019, menjadikan SG Education Group sebagai institusi pertama di negara ini yang menawarkan latihan drone bertaraf nasional.

Dalam pada itu, Sri Ganes yang juga Presiden Yayasan Mahir Malaysia turut menyeru masyarakat untuk melihat TVET sebagai laluan kerjaya yang berpotensi besar.

"Menceburi bidang keusahawanan dilihat sebagai pilihan yang realistik bagi pelajar TVET di Malaysia kerana kemahiran individu yang spesifik dimiliki oleh mereka," katanya.