MALAYSIA berjaya mengikat pasukan di ranking ke-125 dunia, India 1-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada Isnin.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente melakukan beberapa pertukaran dengan memberikan peluang kepada Muhammad Haqimi Azim Rosli, Muhammad Azam Azmi Murad dan Daniel Ting selepas kehilangan tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matthew Davies yang dilepaskan kembali ke kelab mereka.
Skuad negara berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu gagal membaca dengan baik hantaran jauh Azam Azmi Murad dan bola disambar oleh Paulo Josue untuk gol pertama Harimau Malaya.
Tuan rumah menggandakan asakan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil tandukan Rahul Bheke berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-39.
Pemain gantian Fergus Tierney hampir mendapatkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua, namun tandukannya terkena tiang sebelum percubaan Safawi Rasid tersasar.
Aksi menentang India itu melengkapkan dua perlawanan persahabatan Tier 1 diharungi Harimau Malaya bulan ini selepas berjaya menundukkan Laos 3-1 di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok, Khamis lalu.
Selepas ini, Malaysia akan mengharungi Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung bulan depan dengan skuad kendalian Pau Marti itu diundi dalam Kumpulan A.
Mereka bakal berdepan cabaran daripada juara bertahan, Thailand selain Singapura, Kemboja dan Timor Leste.