GEORGE TOWN - Seorang pelajar perempuan sekolah menengah maut selepas terjatuh dari bangunan sekolahnya di Jelutong di sini pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa yang berusia 14 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas terjatuh dari tingkat lapan sekolah tersebut.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang mengenai kejadian tersebut pada jam 5.57 petang.
"Kita menerima laporan mengenai seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua telah meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di sini.
"Siasatan di lokasi kejadian dan tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
"Satu laporan mati mengejut dibuka untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan polis," ujarnya.
Abdul Rozak turut memohon agar orang ramai tidak menularkan gambar atau video tempat kejadian bagi menghormati waris mangsa.