Hanya empat barangan segar alami kenaikan 10 peratus - Rafizi

Iklan
Tangkap layar hantaran Rafizi menerusi Facebook pada Isnin.

SHAH ALAM - Terdapat empat barangan segar yang dikesan mengalami kenaikan harga hingga 10 peratus dalam tempoh Julai 2024 berbanding Jun tahun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, barang itu ialah betik biasa yang naik dari harga RM4.48 ke RM5.57 sekilogram (kg), manakala udang putih meningkat dari RM36.67 ke RM42.29 satu kg, oren valencia RM1.24 ke RM1.43 sebji dan jambu batu tanpa biji RM9.65 ke RM10.81 satu kg.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, barangan segar itu antara 238 barang yang mengalami kenaikan harga.

"Tetapi terdapat 177 barang yang turut mengalami harga turun manakala 59 barang lagi tidak berubah harga.

Iklan

"Ada 20 barangan segar yang turun harga melebihi 10 peratus antaranya, timun, kacang buncis, cili api, kubis bulat, daging kambing bebiri, limau kasturi, sawi, anggur merah, lada benggala, kacang panjang, ayam bersih, kailan, saderi, kacang botol, terung bulat, kubis bunga dan limau nipis.

"Ayam bersih turun harga dari RM9.62 kepada RM8.54 per kg," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Beliau membuat hantaran itu berikutan mendengar keluhan di media sosial mendakwa harga barang semakin melambung meskipun kadar inflasi negara stabil dan berada di bawah paras dua peratus iaitu terendah sejak beberapa tahun ini.

Menurut Rafizi, data itu didapati menerusi laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Kata mereka, kadar inflasi itu tidak betul sebab dimanipulasi tetapi saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tak tipu saya bila mereka muktamadkan laporan inflasi setiap bulan, saya rasa kena semak juga.

"Jadi saya dapatkan laporan terperinci dari KPDN untuk menunjukkan perbandingan harga barang," katanya.

Tambah Rafizi, negara mempunyai sistem pelaporan harga barang yang baik dan laporan inflasi itu disokong oleh turun naik setiap harga barang yang dipantau.

"Setiap bulan, ada harga barang yang naik, ada harga barang yang turun, ada yang tidak berubah tetapi tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa inflasi kekal rendah berbanding sebelum Kerajaan Madani mengambil alih.

"Jadi kalau terjumpa orang di media sosial yang kata harga barang naik melambung dan hidup sengsara sebab harga barang naik, saya minta hantar bukti itu kepada saya.

"Supaya saya boleh bagi kepada KPDN untuk diambil tindakan kerana jelas peniaga itu mengambil kesempatan, dalam keadaan suasana inflasi keseluruhannya adalah rendah," ujarnya.