JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 11 November lalu memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh telah bermula pada Sabtu lalu. Ia dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Seperti kebiasaan, MTL ini akan melanda negeri-negeri di Pantai Timur yang boleh mengakibatkan banjir.
Agensi itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di kebanyakan tempat di empat negeri yang menghadap Laut China Selatan iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor selama lima hari bermula Selasa.
Bagaimanapun, musim tengkujuh pada hujung tahun tidak lagi dikaitkan dengan Pantai Timur semata-mata kerana negeri-negeri lain di Malaysia turut menerima tempias.
Mengambil contoh di Lembah Klang, situasi hujan lebat bagi satu tempoh lama terutama pada sebelah petang berlaku sejak beberapa hari pada minggu lepas.
Melihat kepada situasi itu, orang ramai dinasihatkan tidak alpa, sebaliknya sentiasalah bersedia setiap masa untuk berpindah sekiranya kawasan dinaiki air sambil memastikan dokumen penting disimpan dengan selamat.
Selain itu juga sebarang aktiviti khususnya di sungai perlu dihentikan kerana bimbang berlaku kejadian kepala air.
Kejadian terbaharu di Sungai Jahang, Gopeng pada Jumaat yang menyaksikan tiga individu lemas dihanyutkan arus sewaktu menyertai aktiviti rakit arus deras perlu menjadi peringatan kepada semua.
Difahamkan, penilaian keadaan sungai bagi aktiviti tersebut mendapati ia selamat tetapi dalam keadaan cuaca ketika ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Kerajaan setiap negeri wajar mengambil pendekatan mengarahkan pusat rekreasi berdekatan atau yang menyediakan aktiviti berkaitan air untuk menghentikan sementara operasi sehingga keadaan benar-benar mengizinkan.
Dalam masa sama, musim tengkujuh dan banjir juga dilihat sebagai ‘pesta’ air bagi sebilangan orang tanpa sedar tentang bahaya yang menanti.
Perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan boleh berlaku kejadian lemas di bawa arus, renjatan elektrik dan jangkitan kuman bawaan air banjir.
Dalam keadaan semasa orang ramai khususnya ibu bapa perlu memastikan keberadaan anak-anak agar sentiasa selamat dan tidak menjadi statistik kematian sewaktu banjir.