Boleh buat duit dengan sisa elektronik

Iklan
Penjanaan peranti elektrik dan elektronik yang tumbuh bak cendawan lepas hujan ini perlu diambil perhatian serius sebelum berubah menjadi lambakan e-waste. Gambar hiasan

"MENGAPA buang telefon atau komputer lama sedangkan kita boleh tukar kepada wang?"

Demikian antara bait-bait perkataan yang penulis bayangkan bakal meniti di bibir masyarakat apabila mereka tahu kelebihan mengumpul sisa elektrik dan elektronik atau bahasa mudahnya, e-waste.

Iklan
Iklan

E-waste merupakan bahan buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penjanaan e-waste terdiri daripada barangan rosak, usang, tidak berfungsi, lama atau sudah tamat tempoh jangka hayat itu terbahagi kepada dua jenis punca iaitu daripada sektor industri dan menerusi penghasilan isi rumah.

Terdapat pelbagai elemen berharga seperti emas, perak, tembaga, paladium dan platinum yang khususnya didapati dalam enam item e-waste iaitu telefon bimbit, komputer, peti ais, pendingin hawa, televisyen serta mesin basuh.

Iklan

Meskipun pengumpulan, penguraian bahkan pengekstrakan bahan logam berharga itu perlu melalui proses rumit dan bukan sembarangan individu mampu berbuat demikian melainkan syarikat berdaftar dengan JAS, pengguna boleh memperoleh wang melalui jualan semula barangan elektronik yang tidak boleh digunakan.

Penulis masih ingat sepanjang mengumpulkan data daripada syarikat atau premis e-waste menerusi siri pembongkaran tapak haram dan perlombongan urban, majoriti mengakui tahap kesedaran mengenai sektor yang boleh ‘buat duit’ ini masih rendah.

Mungkin didorong faktor kempen kesedaran tidak dikembangkan secara betul kepada golongan sasar atau sikap masyarakat kurang mengambil peduli.

Iklan

Enam bulan penulis 'bergelumang' dengan sampah elektronik, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita mengenai sisa buangan meletup akibat perbuatan individu.

Membuang e-waste sesuka hati memberi dampak buruk kepada kesejahteraan orang awam. Ada yang mengalami luka lecur sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Lebih menakutkan, ada yang sampai tahap rumah atau kenderaan hampir terbakar disebabkan menyimpan sisa lusuh tamat tempoh waranti.

Justeru, penjanaan peranti elektrik dan elektronik yang tumbuh bak cendawan lepas hujan ini perlu diambil perhatian serius sebelum berubah menjadi lambakan e-waste.

Tiada masalah sekiranya ia dijadikan sumber pendapatan rakyat atau negara dalam usaha merancakkan ekonomi kitaran, namun jangan biarkan industri era baharu ini dipelopori sektor informal atau premis haram.

Jika orang awam enggan mengumpul sisa buangan ini di rumah, dinasihatkan untuk menghantarnya ke pusat pengumpulan e-waste berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan JAS.

Apa pun, penulis berharap supaya orang awam dan kerajaan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang bahan buangan e-waste.

Orang ramai juga disaran melakukan pengasingan e-waste isi rumah dengan sisa pepejal bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini.

Oktober lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, mekanisme pengurusan e-waste yang mengadaptasi konsep Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) dan Shared Responsibility bakal diperkemaskan melibatkan pemain industri serta pihak berkepentingan.

Ujarnya, pihak terlibat adalah pengeluar, pengimport, pengguna dan pusat pengumpulan serta pemerolehan kembali di bawah JAS, bertujuan mewujudkan sistem pengurusan e-waste yang holistik di negara ini.

Kerajaan juga berhasrat ingin memperbanyakkan pusat pengumpulan e-waste di lokasi yang lebih hampir dengan komuniti memandangkan ia hanya terdapat di 251 kawasan dalam negara setakat ini.

Sehubungan itu, pendekatan membudayakan amalan pengurusan e-waste wajar disambut baik semua pihak, selain mengambil contoh teladan daripada negara maju seperti Jepun, China, Korea Selatan, Jerman dan Singapura.

* Aisyah Basaruddin ialah wartawan Meja Am Sinar Harian.